Johor Bukan The Backyard Of Singapore

Hebahkan !!!

Oleh: Maria Das

JOHOR BAHRU – Johor tidak seharusnya menjadi ‘the backyard of Singapore’ sebaliknya seharusnya optimis untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi selatan tanah air sekaligus menjadi pesaing kepada negara republik itu.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Ang Boon Heng, berkata aspirasi kuasa ekonomi selatan itu amat penting kerana potensi sebenar ekonomi Johor belum dibongkar dengan seluas-luasnya.

Beliau berkata, Johor mesti dibangunkan untuk menyaingi dan setanding dengan Singapura dan kemakmurannya sepatutnya membawa pelbagai limpahan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, jika kerajaan negeri kekal fokus dalam membangunkan potensi sebenar Johor, ia pasti akan menjadi kawasan pertumbuhan paling dinamik di Malaysia dan rantau ini.

“Sebagai calon PRN, saya berasakan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor–Singapura adalah penting terutama penduduk di kawasan Stulang dan bandar raya yang menghadapi kesesakan lalu-lintas.

“Projek berkenaan yang akan beroperasi dari Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura dijangka mampu membawa hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Boon Heng ketika diminta untuk mengulas kelebihannya berbanding calon pesaing dari parti lain menyatakan setiap individu memiliki kelebihan masing-masing.

Menurutnya, selain bergiat aktif dalam politik sejak 1994, dia juga menimba pelbagai pengalaman berharga apabila menjawat sebagai ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (pbt) selain menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, ia termasuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat selain menyelesaikan pelbagai permasalahan penduduk.

“Harapan saya adalah untuk mewujudkan bandar raya selamat, transformasi bandar kepada bandar rendah karbon dan maju.

“Misalnya sekiranya pengunjung Singapura yang menggunakan kereta hibrid ke sini, kita seharusnya lengkap dengan kemudahan berkaitan,” katanya.

Boon Heng berkata, sekiranya dia diberi mandat menjadi wakil rakyat, dia juga akan berusaha mengeratkan semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, ia termasuk dengan memperluas konsep perumahan gated and guarded atau berpagar dan kejiranan berpengawal.

Katanya, ia memupuk penduduk mengenali jiran dan bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan perumahan berkenaan.

“Secara tidak langsung ia juga meningkatkan keselamatan penduduk sekaligus mencegah kejadian jenayah,” katanya.

Boon Heng berkata, pada masa sama, dia juga ingin menyelesaikan beberapa isu penduduk yang terlepas pandang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ia termasuk isu tapak pasar awam Sri Tebrau, pembinaannya tidak dilaksanakan sehingga kini walaupun sudah diminta berpindah ke kawasan lain.

“Begitu juga dengan isu banjir kilat di Taman Sri Tebrau, beberapa tindakan perlu dilaksanakan bagi mengatasinya.

“Saya berharap pengundi di Stulang lebih bijak menilai dan membuat keputusan di PRN Johor demi masa depan mereka, masyarakat dan negara,” katanya ketika ditemui.

Leave a Reply