1MDB: Polis kesan dokumen, saksi di luar negara siasat suami Zeti

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses mengenal pasti beberapa dokumen dan saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan Datuk Dr Tawfiq Ayman iaitu suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan polis berkenaan kes itu telah lengkap dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Namun menurutnya, arahan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara kepada PDRM agar mendapatkan dokumen dan saksi-saksi terlibat.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada negara terlibat.

“Setakat ini masih menunggu lampu hijau daripada negara terlibat untuk mengambil keterangan saksi-saksi dan dokumen yang diperlukan,“ katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, PDRM memerlukan bantuan pihak berkuasa di negara terbabit kerana ia melibatkan keterangan saksi dan dokumen.

Dalam kenyataan pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bekas Peguam Negara pada hujung 2018 telah menyelaraskan koordinasi siasatan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes tersebut.

Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk memberi tumpuan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang tersebut ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura dan siasatan masih berjalan sehingga kini.

Penyelarasan ini adalah untuk mengelakkan pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terlibat serta sebagai kemudahan untuk berurusan bersama pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.

Siasatan ke atas Tawfiq itu dilapor dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dengan kenyataan suami dan seorang anak Zeti itu dirakamkan, pada April tahun lalu.

Leave a Reply