Buku Tommy ‘rosakkan’ Sabah, Malaysia, kata Yong

Hebahkan !!!

KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee mendakwa, buku ditulis bekas Peguam Negara, Tommy Thomas “merosakkan” Sabah dan Malaysia kerana ia digunakan untuk menyokong kes penuntut daripada pewaris Sultan Jamalul Kiram II di negara asing.

Katanya, Tommy menerusi bukunya “My Story: Justice in the wilderness” menyatakan bahawa “Pada satu ketika dalam sejarahnya, Borneo Utara adalah sebahagian daripada Kesultanan Sulu” telah menyebabkan “kerosakan” itu.

“Tommy telah menyatakan dalam bukunya di halaman 378 bahawa “Tiada alasan undang-undang untuk keengganan Malaysia membayar setiap tahun sejak 2013. Ia mengakibatkan Malaysia melanggar perjanjian 1878.”

“Ini adalah kenyataan yang merosakkan yang kini digunakan oleh warga asing untuk membuat pendakwaan terhadap Malaysia,” kata Yong dalam kenyataan, hari ini.

Yong berkata, mengikut fakta sejarah, Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara tidak pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Sulu.

Katanya, apa yang diterima sebagai fakta tidak boleh dipertikaikan ialah Borneo Utara adalah sebahagian daripada Kesultanan Brunei sebelum kedatangan penjajah Eropah ke Asia Tenggara pada abad ke-17.

Beliau berkata, kuasa asing terutama China dan Sepanyol diikuti British dan Jerman yang datang ke Borneo sentiasa berurusan dengan kerajaan yang menduduki Brunei pada era moden.

“Hanya berkenaan hubungan dengan Sulu dan pulau-pulau di kepulauan Filipina, kuasa asing telah berurusan dengan Kesultanan Sulu di Jolo di Pulau Sulu. Dalam hal Borneo Utara yang sebelum ini dieja Boni, Buni dan lain-lain dalam peta lama, kerajaan yang diiktiraf ialah Kesultanan Brunei.

“Selama tiga abad, Sulu telah cuba untuk meletakkan tangan mereka di Borneo Utara tetapi tidak ada rekod atau peristiwa yang Brunei pernah menyerahkan atau memberikan mana-mana bahagian Borneo kepada Sulu,” katanya.

Yong berkata, rekod juga menunjukkan bahawa Brunei telah menangkis pencerobohan Sulu di Borneo, seperti di Kinabatangan.

Katanya, versi Sulu mengatakan bahawa Brunei telah bersetuju untuk memberikan Borneo Utara kepada Sulu sebagai balasan kepada bantuan ketenteraan Sulu untuk membantu dalam memenangi perang saudara Brunei pada tahun 1600-an, manakala versi Brunei, tentera Sulu tidak pernah mengambil bahagian dalam peristiwa perang saudara tersebut tetapi sebenarnya ditempatkan di Pulau Chermin (luar pantai Brunei).

“Hanya selepas perang saudara Brunei tamat barulah tentera Sulu menuntut Borneo Utara tetapi tentera Sulu berjaya ditangkis Brunei dan oleh itu, Sabah (Borneo utara) tidak pernah menjadi sebahagian daripada Sulu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Tommy perlu menarik balik kenyataannya dalam buku tulisannya yang menyebut “Pada satu ketika dalam sejarahnya, Borneo Utara adalah sebahagian daripada Kesultanan Sulu”.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga harus diberi pengajaran sewajarnya tentang sejarah Sabah.

“Hakikatnya, AG Chambers (Jabatan Peguam Negara) harus membaca buku lain yang ditulis oleh bekas AG lain, Tan Sri Gani Patail, meletakkan tuntutan ke atas Sabah oleh Kesultanan Sulu yang diisytiharkan sendiri, diterbitkan pada 2013, yang merupakan rekod yang lebih tepat bagi sejarah perundangan dan politik Sabah.

“Pandangan saya ialah, Tommy sepatutnya memasukkan dalam bukunya, asas undang-undang keputusan 2013 oleh kerajaan persekutuan untuk berhenti membuat sebarang pembayaran lagi kepada keturunan Kiram,” katanya.

Leave a Reply