Harap Rumah Generasi Kedua Dipercepatkan

Hebahkan !!!
Rosman Mastor, 39 tahun, pekerja kedai runcit, dari Felda Ayer Tawar 3.

Oleh: Kamaruzzaman bin Pid

KOTA TINGGI – “Saya memang amat mengharapkan program perumahan untuk generasi kedua Felda ini dipercepatkan.

“Ini kerana kami tinggal dan bekerja di sini sejak sekian lama tetapi tak mempunyai rumah sendiri,” kata Rosman Mastor, 39, pekerja kedai runcit, dari Felda Ayer Tawar 3.

Beliau diminta mengulas mengenai Ikhtiar Johor yang dilancarkan Barisan Nasional (BN) Johor bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohamad melancarkan Ikhtiar Johor yang antara lain menyentuh langkah memudahcara pembinaan perumahan generasi baharu Felda di negeri itu.

Ketika ini Rosman menyewa rumah dengan bayaran RM250 sebulan.

Katanya, dia membuat permohonan untuk membeli rumah berkenaan hampir lima tahun lalu.

“Sekian lama kita tunggu, projek tak selesai jugak. Baru jalan dah terbantut.

“Jadi, saya berharap kerajaan negeri akan mempercepatkan projek rumah ini dengan segera,” katanya.

Suziana Kamaludin, 41 tahun, peniaga gerai makanan.

Bagi Suziana Kamaludin, 41, peniaga gerai makanan di sini, turut berharap beliau memiliki rumah di kawasan Felda itu nanti.

“Saya memang nak sangat-sangat rumah sendiri.

“Saya tak ada pendapatan tinggi dan kalau dapat itu, memang sangat bersyukur,” katanya yang menyewa rumah kedai sebanyak RM400 sebulan yang turut dijadikan gerai makanan.

Selain itu, Suziana turut berharap supaya peluang pekerjaan diberikan kepada belia di Felda berkenaan.

“Kalau boleh kerja-kerja dalam Felda ini diberikan kepada anak peneroka di sini. Bagi peluang kepada mereka sebab mereka tiada pekerjaan tetap,” katanya.

Leave a Reply