China bimbang kewibawaan tercemar jika bantu Russia

Hebahkan !!!

WASHINGTON: China setakat ini dilihat tidak membantu Russia mengelak sekatan kewangan Barat ke atas Moscow kerana pencerobohannya ke atas Ukraine.

menurut pegawai kanan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, Beijing mungkin khuatir sebarang tindakannya jika berbuat demikian akan menjejaskan kewibawaan China di mata dunia.

“Dalam perkembangan terkini, AS dan sekutunya bersetuju untuk mengenakan sekatan terhadap bank pusat Russia dan memutuskan talian bank utama Russia daripada rangkaian transaksi kewangan antarabangsa SWIFT.

“Tanda-tanda terkini menunjukkan China tidak akan datang untuk menyelamatkan Russia,” kata pegawai itu kepada pemberita.

Tambah pegawai berkenaan, laporan baru-baru ini bahawa beberapa bank China sudah berhenti mengeluarkan surat kredit untuk pembelian komoditi fizikal dari Russia adalah petanda positif.

China ialah rakan perdagangan terbesar Russia untuk eksport dan import, membeli satu pertiga daripada eksport minyak mentah Russia pada 2020 dan menjual produk perkilangan daripada telefon bimbit dan komputer hinggalah mainan dan pakaian.

Hubungan perdagangan China-Russia berkembang dengan ketara sejak 2014, apabila Barat pertama kali mengenakan sekatan terhadap entiti Russia berhubung penguasaan Crimea oleh Moscow. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply