Calon BN, Lim Soon Hai Mahu Masalah Rakyat Didengari Dan Diselesaikan

Hebahkan !!!

SKUDAI – Calon Barisan Nasional (BN) dari parti MCA untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Skudai, Lim Soon Hai mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada kali ini kerana mahu bantu rakyat negeri Johor khususnya di kawasan beliau kerana sejak dahulu beliau suka melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Beliau yang mula menyertai MCA dalam politik sejak tahun 1998 sebagai ahli biasa berkata sejak dulu di dalam sesuatu kawasan pasti ada banyak masalah orang ramai yang perlu diselesaikan segera dan hanya parti yang baik sahaja mampu menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, BN yang sejak awal kemerdekaan mentadbir negara mampu melakukannya untuk rakyat kerana BN memberikan kestabilan politik untuk rakyat dan merancang pembangunan negara dengan baik untuk satu jangka masa panjang.

“Saya menjanjikan kestabilan kepada para pengundi di Skudai jika memilih BN pada 12 Mac nanti, kerana hanya parti ini yang ada pengalaman dan tahu menguruskan negara berbanding dengan parti lain khususnya Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu bertahan selama 22 bulan sebelum dilanda pelbagai masalah,” katanya kepada My News Online, ketika ditemui semalam.

Lim seorang peniaga dan anak jati Skudai merupakan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari National Taiwan University dan merupakan Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Iskandar Puteri.

Sejak 2014 beliau banyak kali menjadi ahli majlis sehingga sekarang untuk Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Beliau berkata, banyak masalah dan keluhan rakyat mesti diselesaikan dan kadangkala ada yang tidak munasabah tetapi itu semua perlu dihadapi oleh seorang wakil rakyat.

“Jadi, selama ini saya menjadi seorang ahli majlis banyak masalah yang ada jadi sekarang saya ingin berada di satu pentas yang lebih besar iaitu di Dewan Undangan Negeri untuk dapat membawa masalah ini dan disuarakan di dalam dewan untuk diselesaikan,” katanya.

Semalam, beliau turut melakukan “walkabout” di sebuah restoran di kawasan perniagaan di Taman Ungku Tun Aminah.

Rata-rata para pengundi di sekitar kawasan berkenaan menerima baik pencalonan Lim yang sudah dikenali lama yang aktif mendengar masalah rakyat selama berkhidmat dalam MCA dan sebagai ahli majlis.

Lim akan berdepan saingan tiga penjuru dengan calon dari DAP Marina Ibrahim dan calon Perikatan Nasional (PN), Khoo Kong Ek.

Hari mengundi bagi PRN Johor ialah pada 12 Mac nanti.

Leave a Reply