Calon BN DUN Kukup Bangga Bawa Nama Jefridin Mirip Nama Penyanyi 60-an

Hebahkan !!!

KUKUP – Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N56 Kukup bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Datuk Jefridin Atan berbangga membawa nama yang mirip dengan nama penyanyi 60-an Datuk Jeffrydin tetapi beliau mengakui diri beliau tidak pandai menyanyi tetapi petah bercakap.

Beliau berkata nama beliau diberikan oleh kakaknya sendiri kerana ketika itu beliau sendiri dilahirkan dalam era 60-an dan nama itu diminati oleh kakaknya.

Jefridin berkata beliau amat berbangga diberikan nama itu dan membawanya sepanjang kehidupan dan kerjayanya mengikut personaliti beliau sendiri.

“Saya ke mana-mana memang orang akan bertanya, eh penyanyi ke? Saya kata saya tak pandai bernyanyi tapi saya boleh bercakap.

“Saya bagaimanapun saya happy dengan nama saya dan saya bangga,” katanya kepada My News Online ketika ditemui di kediamannya di Tanjung Piai hari ini.

Mengulas tentang kawasan DUN Kukup yang bakal ditandingi dalam PRN Johor kali ini, beliau menganggap Kukup mempunyai potensi yang amat tinggi untuk dibangunkan kerana lokasi itu mempunyai konsep eko-pelancongan bukan sahaja di Tanjung Piai malah di Kukup Laut.

“Kita mempunyai satu tempat tarikan pelancong di mana Kukup Laut ini kita ada pulau bakau terbesar di dunia dan memang ramai pelancong yang hadir kerana ia merupakan laluan antarabangsa antara Johor dan Kepulauan Riau kerana kita ada terminal feri.

“Sebelum pandemik COVID-19, Kukup ini memang mempunyai daya tarikan, ramai pelancong keluar masuk daripada Indonesia ke Johor dan orang yang ingin ke Indonesia melihat kepulauan Riau, di Batam ramai yang melalui Kukup dan pelancong begitu ramai kerana Kukup juga terkenal dengan makanan lautnya.

“Kita mempunyai tanah lembap di Tanjung Piai selain daripada tanah penghujung benua dan taman negara juga membuka peluang kepada eko-pelancongan,” katanya.

Jefridin berkhidmat sebagai pegawai khas Abdullah sejak 2009 hingga kini, dan pernah menjadi setiausaha peribadi Abdullah semasa menjadi Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009.

Beliau juga pernah menjadi setiausaha sulit semasa Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2001 dan 2003 dan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), sejak tahun 2016.

Jefridin akan bertanding dalam satu pertandingan empat penjuru berdepan calon parti Pejuang Zamzam Hashim, calon Perikatan Nasional, Mahathir Iskandar Muhammad dan calon PKR Mohd Zaiful Bakri.

Penyandang kerusi DUN Kukup ialah Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Md Ohman Yusof yang menewaskan Suhaizan Kayat dari PKR dengan majoriti 862 undi.

Leave a Reply