Sebutan Semula Kes Ibrahim Mat Zin Cel Dan Hina Islam Ditangguh

Hebahkan !!!

IPOH – Sebutan semula kes Ibrahim Mat Zin atau lebih dikenali sebagai ‘Raja Bomoh’ yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam ditangguhkan selama dua bulan oleh di Mahkamah Syariah Rendah Ipoh hari ini.

Hakim Syarie Azman Saad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie Suhaili Ishak untuk melanjutkan tempoh bagi melengkapkan siasatan.

“Saya sebenarnya berhasrat untuk tidak memanjangkan tempoh siasatan ini. Saya dengan ini membenarkan penangguhan dua bulan dan ini adalah penangguhan terakhir.

“Prosiding mahkamah hari ini adalah penangguhan terakhir, tidak boleh lama-lama,” kata Azman.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 25 April hadapan.

Pada masa sama, Azman turut membenarkan permohonan seorang lagi tertuduh, Suliaha Abdul Hamid, 62, atau dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ menukar penjamin baharu ekoran penjamin sebelum ini dijangkiti Covid-19 selain sukar untuk hadir Mahkamah.

Terdahulu, Ibrahim, 71, bersama Suliaha masing-masing tiba secara berasingan di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh di sini, sebelum masuk ke dewan mahkamah.

Suhaili berkata, Ibrahim diberi penangguhan akhir selama dua bulan berdasarkan kelayakan peruntukan sedia ada.

“Ada keperluan untuk kita mendapatkan tempoh masa berdasarkan peruntukan yang ada kita layak untuk tambah lagi dua bulan.

“Dalam tempoh lanjutan ini, akan ada tindakan untuk melengkapkan siasatan dan menambah lagi dengan apa-apa keperluan siasatan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding berkenaan.

Pada Januari lalu, media melaporkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu dikenali sebagai Raja Bomoh berhubung satu ritual menolak banjir dilakukan di Dataran JPS Teluk Intan yang videonya tular di media sosial.

Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Raja Bomoh bersama seorang wanita membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. – ©Harian Metro

Leave a Reply