Kerajaan Tangguh Pelaksanaan Gaji Minimum Baharu Untuk Tenteramkan Pengusaha

Hebahkan !!!

PETALING JAYA – Kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu untuk menenteramkan pengusaha perniagaan, dakwa bekas Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, gaji minimum RM1,200 yang ditetapkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dua tahun lepas dan sepatutnya dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM1,400 sekarang dan RM1,500 tahun depan.

“Ini semua adalah taktik penangguhan oleh Menteri Sumber Manusia untuk memenangi hati majikan,” tambahnya.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, gaji minimum “sekitar RM1,500 sebulan” dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Pengumuman itu mendapat tentangan daripada kumpulan perniagaan yang memberi amaran bahawa kebanyakan syarikat tidak akan dapat melaksanakannya kerana ia masih dalam proses pulih daripada impak wabak Covid-19 dan banjir baru-baru ini.

Mereka juga menggesa kerajaan mengaitkan gaji dengan produktiviti, dengan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) mendakwa produktiviti buruh menurun sebanyak 5.6% pada suku ketiga 2021.

Kali terakhir gaji minimum disemak adalah pada Februari 2020 dengan ia dinaikkan daripada RM1,100 kepada RM1,200. Mengikut undang-undang, gaji minimum perlu disemak setiap dua tahun sekali.

Rakyat Malaysia tidak minat pekerjaan 3D

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah bahawa rakyat Malaysia tidak berminat mengambil pekerjaan 3D (kotor, berbahaya, sukar) kerana gaji rendah, Kula menggesa kerajaan campur tangan dan mengubah trend itu.

“Orang tempatan tidak mengambil pekerjaan seperti ini kerana (gaji) tidak cukup lumayan, jadi perlu ada insentif yang sewajarnya oleh kerajaan,” katanya.

Sepanjang beliau menjadi menteri katanya, kerajaan telah memulakan program Malaysia@Work yang menyediakan insentif gaji untuk pekerja dan insentif pengambilan untuk majikan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersetuju bahawa rakyat tidak mengambil pekerjaan 3D disebabkan gaji yang rendah, dengan Timbalan Presidennya, Effendy Abdul Ghani berkata, persekitaran kerja yang buruk dan dasar buruh yang lemah juga harus dipersalahkan.

Beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan gaji minimum RM1,500 dan elaun kos sara hidup RM300 secepat mungkin, memandangkan gaji semasa pada umumnya tidak cukup untuk menampung kos sara hidup, terutamanya dengan kenaikan harga barang.

“Apabila ini berlaku, rakyat akan mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di luar negara seperti di Singapura, Australia dan Korea Selatan,” katanya.

Leave a Reply