Dewan Ulama PAS desak setiap negeri ‘segera’ bolehkan tukar agama anak sebelah pihak

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Dewan Ulama PAS mendesak pihak berkuasa agama setiap negeri “segera” meminda syarat pertukaran agama anak secara sebelah pihak.

Ia selepas beberapa kecaman terhadap pihak berkuasa agama Perlis kerana mendaftarkan tiga kanak-kanak bawah umur sebagai Islam tanpa kehadiran ibu.

Pendaftaran itu berlaku meskipun Mahkamah Persekutuan memutuskan dan mengesahkan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa.

“Dewan Ulama PAS Pusat mendesak pihak berkuasa agama di setiap negeri segera meminda syarat pertukaran agama dengan keizinan ibu atau bapa, dan bukan ibu dan bapa seperti yang ada di sesetengah negeri,” katanya dalam kenyataan.

Sayap parti pemerintah itu berkata pengislaman anak-anak Loh Siew Hong itu dibuat dengan persetujuan bapa mereka sahaja, namun tidak mahu pengislaman mereka “diusik”.

“Umat Islam telah lama bersabar dan kita tidak mahu keharmonian agama yang dijamin oleh Perlembagaan akan membakar sentimen dan kemarahan umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Ulama PAS juga menggesa Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan dipinda untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah melakukan semakan kehakiman berhubung kes berkaitan orang Islam.

“…khususnya berkaitan pertukaran agama agar tiada lagi konflik seperti ini berlaku di masa depan,” katanya.

Sayap itu juga mengesyorkan kerajaan menubuhkan suatu “jawatankuasa mediasi agama” untuk memastikan kebajikan anak beragama Islam yang dipelihara oleh orang bukan Islam diberi keutamaan.

“…dari sudut pemakanan, pendidikan sah yang lebih utama akidah mereka sentiasa dipelihara,” katanya.

Leave a Reply