Pasangan Kekasih Ditahan Selepas Cuba Lari Dari Polis

Hebahkan !!!

LANGKAWI – Pasangan kekasih ditahan selepas kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit ketika di kejar polis di Jalan Kuah-Padang Matsirat di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza berkenaan dikejar kenderaan peronda polis (MPV) dilaporkan dipandu laju secara melawan arus, merempuh beberapa kenderaan sebelum terbabas ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, terdahulu kenderaan itu ditemukan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran Pusat Perdagangan Kelana Mas, di sini.

Katanya, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dibantu MPV dalam tugas Op Tapis cuba melakukan pemeriksaan selepas mengesyaki ada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kenderaan itu.

“Menyedari kehadiran polis, pemandunya memecut menghala ke Padang Matsirat dan pada masa sama dikejar MPV sehingga menyebabkan kenderaan suspek merempuh beberapa kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, bagaimanapun kenderaan suspek yang turut dipandu secara melawan arus itu terbabas ke dalam parit di tepi jalan dan anggota berjaya menahan seorang lelaki dan teman wanitanya masing-masing berusia 42 dan 34 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis morfin, manakala wanita terbabit positif methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tiga video kejadian itu masing-masing berdurasi enam, 11 dan 17 saat tular dalam media sosial Facebook dan di aplikasi WhatsApp malam tadi.

Leave a Reply