Skandal 1MDB: Tim Leissner beri keterangan

Hebahkan !!!

New York: Dua bekas rakan sekerja di Goldman Sachs akan bertemu di mahkamah Brooklyn, pada Rabu, dalam perbicaraan berhubung rompakan ratusan juta dolar daripada 1MDB, salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, didakwa bersubahat dalam pengubahan wang dan melanggar undang-undang antirasuah.

Reuters melaporkan, pendakwa raya berkata Ng, 49, menerima berjuta-juta wang sogokan kerana membantu menggelapkan dana daripada 1MDB.

Pada Rabu, pendakwa raya akan memanggil saksi utama mereka Tim Leissner, bekas rakan kongsi Goldman dan bekas majikan Ng di operasi bank Asia Tenggara itu.

Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan kerajaan.

Ng mengaku tidak bersalah dan peguam pembelanya, Marc Agnifilo berkata, dia tidak mempunyai peranan dalam skim yang didakwa dilakukan oleh Leissner dan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, seorang pembiaya Malaysia yang berkhidmat sebagai perantara untuk tawaran di mana Goldman membantu 1MDB menjual AS$6.5 bilion (kira-kira RM27.20 bilion) dalam bentuk bon.

Low, tertuduh di sebalik skim itu, sudah didakwa di Amerika Syarikat (AS) bersama Ng pada 2018.

Dia belum ditangkap oleh pihak berkuasa AS atau Malaysia dan peguamnya tidak menjawab permintaan untuk komen.

Pendakwa raya AS berkata, Goldman memperoleh yuran AS$600 juta (kira-kira RM2.51 bilion) daripada bon itu, tetapi kira-kira AS$4.5 bilion (kira-kira RM18.83 bilion) dana yang diperoleh, didakwa digelapkan.

Goldman membayar denda hampir AS$3 bilion (kira-kira RM12.55 bilion), mengembalikan AS$600 juta (kira-kira RM2.51 bilion) dan mengatur supaya anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

Leissner berkemungkinan akan disoal oleh kerajaan mengenai dakwaan pembabitan Ng dalam skim untuk menggelapkan sebahagian daripada dana itu, menggunakan sebahagian daripadanya untuk merasuah pegawai untuk kepentingan perniagaan Goldman, dan menyimpan untuk diri sendiri.

Pendakwa raya berkata keterangan Leissner akan disokong oleh bukti lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply