Strategi bunuh karakter Najib-Muhyiddin jangka bawa padah kepada Bersatu, kata penganalisis

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Serangan balas antara dua bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin di media sosial dijangka akan membawa padah kepada Bersatu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata penganalisis politik.

Felo Kanan Akademi Nusantara (Penyelidikan Strategik) Azmi Hassan berkata, Muhyiddin seharusnya tidak membalas serangan peribadi terhadap Najib, kerana “strategi pembunuhan karakter” oleh kedua-dua pemimpin ini akan membuatkan Bersatu menerima mudarat lebih berat.

Katanya, ini kerana Bersatu sangat sinonim dengan Muhyiddin dan Presiden Bersatu itu pula “amat dekat” dengan Johor.

“Negatif lebih banyak menyondong kepada Bersatu berbanding Umno kerana Bersatu sinonim dengan Muhyiddin dan Muhyiddin sinonim dengan Johor dan ia berkait rapat dengan apa yang berlaku di Johor ketika ini iaitu PRN.

a man wearing a suit and tie: Azmi Hassan.

“Tetapi Najib tiada jawatan dalam Umno dan tidak sinonim dengan Johor,” katanya kepada FMT.

Muhyiddin adalah Ahli Parlimen Pagoh dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir sebelum Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 22 Jan bagi memberi laluan kepada PRN Johor yang ditetapkan pada 12 Mac.

Azmi berkata, Muhyiddin perlu mengurangkan atau menghentikan serangan kepada Najib walaupun pemimpin Umno itu menyerangnya bertubi-tubi sejak kebelakangan ini.

“Ketika pembunuhan karakter semakin memuncak menjelang PRN Johor, sepatutnya Muhyiddin tidak membalasnya kerana Bersatu akan terima negatif lebih banyak.

“Seharusnya bila Najib serang Muhyiddin, jangan balas kerana bila menyerang balik ini akan membuatkan Bersatu terima negatifnya,” katanya.

a man looking at the camera: Ahmad Atory Hussain.

Sementara itu, Ahmad Atory Hussain berpendapat Bersatu lebih “takut” kepada Umno berbanding Pakatan Harapan (PH) selepas beberapa siri PRN dan pilihan raya kecil, yang sebahagian besar memihak kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Pertarungan sebenar ialah antara Umno dengan Bersatu. Bersatu rasa cuak dengan Umno dari segi kekuatan dan keahlian Umno. Muhyiddin takut dengan penyokong taksub Najib dan Zahid kerana mereka ini masih ramai.

“Mengenai PH pula, sejak tiga PRN lalu iaitu Sabah, Melaka dan Sarawak, pengaruh dan sokongan pengundi terhadap PKR dan DAP merudum teruk dan pengaruh Anwar juga sudah merosot,” kata penganalisis veteran itu.

Mengulas lanjut, Atory berkata PRN Johor disifatkan sebagai pasport penting bagi setiap parti untuk melangkah ke PRU15.

“PRN Johor akan jadi pentas utama menguji parti mana yang boleh menang lebih banyak kerusi.

“Jika Umno boleh dapat majoriti selesa dengan 26 kerusi maka Umno akan mudah menjadi parti tunggal pada PRU15 dan mempunyai peluang cerah membentuk kerajaan tunggal,” katanya.

Leave a Reply