Jasad Kanak-Kanak Syurga Rayan Oram, Selamat Disemadikan

Hebahkan !!!

IGHRANE – Orang ramai menghadiri majlis pengebumian Rayan Oram, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terjatuh dan terperangkap selama lima hari di dalam perigi sedalam 32 meter.

Ratusan hadirin meratapi pemergian kanak-kanak itu di tanah perkuburan yang terletak di lokasi terpencil di utara wilayah Chefchaouen, beberapa kilometer (km) dari lokasi tragedi ketika seorang imam membacakan doa pada Isnin.

Keranda kecil menempatkan jenazah Rayan dilitupi kain hijau tertera ayat al-Quran dimasukkan ke dalam liang lahad sambil diiringi doa dan bacaan ayat suci al-Quran.

Warga maya turut tidak terkecuali mengucapkan takziah atas pemergian kanak-kanak itu dengan media sosial dibanjiri ucapan dan mesej simpati serta doa dengan harapan Rayan dapat dikeluarkan bernyawa dari tempat kejadian.

Lewat malam Sabtu, hadirin di tempat kejadian bersorak selepas Rayan berjaya dikeluarkan dari perigi berkenaan.

Bagaimanapun, sorakan gembira bertukar kesedihan apabila Istana Diraja Maghribi mengesahkan Rayan menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital berdekatan.

Raja Mohammed VI menghubungi ibu bapa Rayan untuk menzahirkan ucapan takziah atas pemergian anak mereka.

Seorang penduduk Ighrane, Mounir Mourid, berkata pemergian Rayan mengejutkan masyarakat kampung.

“Rayan sentiasa di hati kami. Ia seperti menyinari situasi di rantau ini.

“Di sini, kami tidak pernah melihat media atau ahli politik. Kami tidak mempunyai isyarat telefon, jalan raya, hospital atau sekolah,” katanya.

Mourad Fazoui, antara dalam kalangan jutaan individu yang menangisi pemergian Rayan, berkata dia mendoakan roh kanak-kanak itu dalam keadaan damai dan berharap semoga Tuhan membuka pintu syurga untuknya.

Media sosial di seluruh rantau Arab juga penuh dengan mesej, sokongan, tangisan dan penghargaan kepada petugas penyelamat.

Sepanjang operasi menyelamatkan Rayan, pihak berkuasa menyatakan mereka tidak dapat menentukan nasib kanak-kanak malang terbabit.

Rayan dilaporkan terjatuh dalam perigi berkenaan pada petang Selasa minggu lalu, yang mana insiden itu mengundang simpati masyarakat Maghribi dan dunia keseluruhannya.

Perigi hanya seluas 45 sentimeter itu terlalu sempit untuk penyelamat turun menyelamatkan kanak-kanak itu dan meluaskannya terlalu berisiko, sekali gus jentera membuat cerun ke dalam bukit untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dari bahagian tepi.

Operasi itu menjadi bertambah rumit disebabkan campuran pelbagai jenis batu dan tanah berpasir, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh.

Sepanjang operasi menyelamatkan, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan jentera bagi menggali lubang berhampiran perigi sebelum mengorek terowong untuk sampai ke lokasi mangsa.

Usaha itu terpaksa dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang gegaran yang mungkin menyebabkan runtuhan.

Leave a Reply