Harga Ayam Sudah Menurun Tapi Bekalan Masih Kurang

Hebahkan !!!

KOTA BHARU – Harga ayam yang dijual mulai stabil sebagaimana yang ditetapkan, walaupun masih berlaku masalah kekurangan bekalan sejak lebih tiga bulan lalu.

Tinjauan yang dilakukan di Pasar Siti Khadijah dan Pasar Wakaf Che Yeh mendapati, kebanyakan peniaga menjual ayam pada harga antara RM8.50 hingga RM8.90 sekilogram sebagaimana harga maksimum runcit bagi ayam standard yang disarankan oleh pihak berkuasa.

Pada masa sama, peniaga runcit mendakwa bekalan telur turut mengalami kekurangan bekalan sejak beberapa minggu lalu sehingga menyebabkan pemborong terpaksa mengehadkan bekalan kepada mereka.

Peniaga ayam, Mohd Amri Amran, 35, berkata dia menjual ayam pada harga RM8.50 sekilogram sejak dua minggu dengan memperoleh keuntungan sedikit, namun tidak mahu mempersoalkannya demi menjaga pelanggan.

“Bagi memenuhi permintaan pelanggan, setiap hari saya terpaksa ‘mencatu’ bekalan ayam daripada tiga pemborong di sekitar Kota Bharu dan harga ditolak oleh pemborong adalah berbeza iaitu antara RM7.90 hingga RM8.30 untuk sekilogram ayam.

“Namun disebabkan bekalan ayam masih belum stabil, kebanyakan pemborong terpaksa mengehadkan bekalan dan dalam sehari, saya hanya menjual 150 ayam untuk keperluan pelanggan yang datang membeli di pasar ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 sekarang kepada RM8.90.

Harga telur ayam semua gred pula kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pelaksanaan kedua-dua harga itu bermula hari ini sehingga 5 Jun 2022.

Seorang lagi peniaga ayam, Azman Yusof, 53, berkata bagi memenuhi permintaan pelanggannya, dia mengambil sehingga 300 ayam sehari dari empat tempat pemprosesan ayam di sekitar Kota Bharu.

“Saya terpaksa berbuat demikian disebabkan sudah tiga bulan mengalami kekurangan bekalan ayam, sedangkan permintaan semakin meningkat terutamanya dalam kalangan peniaga restoran yang memerlukannya hampir setiap hari.

“Sebagai peniaga saya juga berasa tertekan kerana perlu berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam dan pada masa sama, tidak boleh menjangkakan harga naik turun ayam kerana ia bergantung kepada bekalan dan harga yang diperoleh daripada pemborong atau pembekal,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai borong, Kamarulnizam Mustapha, 48, berkata bekalan telur di kedainya mula mengalami gangguan sejak Januari lalu dan kini hanya memperoleh antara 300 hingga 350 papan telur daripada pemborong pada setiap minggu berbanding 1,000 papan sebelum ini.

“Saya memperoleh bekalan telur ini daripada pemborong di Kedah dan juga Pengkalan Chepa. Namun saya difahamkan pemborong telur di Kedah mengalami kekurangan bekalan disebabkan banyak ayam yang diternak mati akibat penyakit.

“Saya menjual telur Gred A pada harga RM13 sepapan, dan Gred B, RM12.70 sepapan, manakala Gred C, RM12.40 sepapan,” katanya. – ©Berita Harian

 

Leave a Reply