Keadaan Kawasan ESSZONE Selamat Dan Terkawal

Hebahkan !!!

LAHAD DATU – Keadaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) setakat ini aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Pengesahan itu dibuat Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Hamzah Ahmad, sebagai mengulas dakwaan 10 lelaki bersenjata warga Filipina menyusup masuk di perairan Tambisan, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, dakwaan mengenai laporan itu masih dalam siasatan pihaknya, namun menegaskan situasi di ESSZONE adalah terkawal.

“Ketika ini keadaan aman dan terkawal,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Berdasarkan laporan sebuah agensi berita sebelum ini, seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan, minggu lalu.

Lelaki terbabit turut mendakwa semua individu itu adalah warga Filipina berdasarkan perbualan mereka yang menggunakan bahasa Suluk. – © Berita Harian

Leave a Reply