Kes Demam Denggi Catat Jumlah Kes Terendah Sejak Sedekad Lepas

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kes demam denggi di Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 70.8 peratus iaitu 26,365 kes tahun lalu berbanding 90,304 kes pada tahun sebelumnya sekali gus menjadi kes terendah sejak sedekad lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh sama, kematian disebabkan demam denggi juga menurun daripada 145 kematian pada 2020 kepada 20 kematian tahun lalu.

“Ini kali pertama Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad lalu.

“Faktor utama penurunan kes denggi itu belum dapat ditentukan, namun denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai (NTDs) Sedunia yang disambut semalam.

Sehubungan itu, KKM menyeru semua pihak berkepentingan supaya memberikan perhatian kepada ekuiti kesihatan dalam mengakhiri penyakit tropika terabai seperti penyakit denggi.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan data dan trend penyakit demam denggi sebelum ini, KKM mendapati terdapat lonjakan kes demam denggi pada 2010, 2015 dan 2019.

Bagaimanapun, beliau berkata, wabak denggi di Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan yang tinggi setiap empat hingga lima tahun kitaran.

“Jadi, kes demam denggi dijangka meningkat semula pada 2024 atau 2025, dengan insiden dijangkakan lebih tinggi daripada jumlah kes dicatatkan pada 2019,” katanya.

Berkongsi kisah kejayaan kawalan denggi di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, ia berfokus kepada langkah kesihatan awam terutama pengesanan awal dan pengurusan vektor memandangkan setakat ini belum ada mekanisme berkesan mengatasi virus denggi.

Beliau berkata, antaranya mewartakan penyakit denggi mengikut undang-undang Malaysia sejak 1988, menambah baik kaedah pemakluman sistem dalam talian iaitu e-Notifikasi dan eDengue, mengenal pasti sistem maklumat penjagaan kesihatan secara digital serta membangun sistem pemetaan risiko bagi memudahkan perancangan aktiviti kawalan vektor di lapangan.

Katanya, dari aspek pengurusan vektor, Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang mengendalikan kawalan denggi dengan memanfaatkan kebaikan nyamuk Wolbachia sejak 2019 berikutan penemuan positif daripada kajian tempatan.

Beliau berkata, Bahagian Kawalan Penyakit bekerjasama dengan dua rakan kongsi antarabangsa untuk melaksanakan Sistem Amaran Awal, Amaran dan Tindak Balas (EWARS) dan Sistem Ramalan Denggi Berasaskan Satelit Model (DMOSS).

Beliau berkata, kerjasama ini bertujuan meneroka prospek untuk menggabungkan amaran awal dan ciri ramalan sistem pengawasan denggi kebangsaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan serta aktiviti pencegahan lebih intensif.

Berkongsi cabaran dalam mengendalikan denggi, beliau berkata, tidak seperti kebanyakan penyakit berjangkit yang lain, tiada rawatan khusus seperti antivirus untuk penyakit denggi.

“Walaupun pada masa ini terdapat vaksin denggi di pasaran, namun Malaysia tidak memenuhi kriteria yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan kadar sero-prevalensi denggi sekurang-kurangnya 80 peratus pada usia sembilan tahun untuk dipertimbangkan di bawah program imunisasi kebangsaan.

“Selain itu, tiada alat domestik yang benar-benar berkesan untuk melindungi masyarakat semasa waktu puncak nyamuk Aedes menggigit, contohnya kelambu, vest dan sebagainya,” katanya. – © Harian Metro

Leave a Reply