Aliran Trafik Di Lebuh Raya Utama Sesak Sejak Pagi Tadi

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, keadaan trafik di beberapa jalan raya dan lebuh raya utama sesak dengan kenderaan sejak awal pagi tadi.

Sehingga pukul 10 pagi, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan bergerak perlahan dari Hospital Sungai Buloh menuju ke Sungai Buaya, Rawang Selatan ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah utara.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi Twitter melaporkan, keadaan itu disebabkan pertambahan kenderaan menuju utara Semenanjung.

PLUS turut melaporkan kesesakan berpunca daripada kemalangan di Kilometer 304.2 arah utara dari Tapah menghala Gopeng yang menyebabkan lorong kanan terhalang selain memaklumkan trafik dilaporkan perlahan dari susur keluar Bandar Sri Putra dan Bukit Mahkota ke Nilai arah selatan.

Pertambahan kenderaan ke arah Pantai Timur turut menyebabkan aliran trafik perlahan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sehingga Plaza Tol Gombak menghala Kuantan.

Trafik turut perlahan di Kilometer 25.7 sehingga Terowong Genting Sempah serta Kilometer 40.8 dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Twitter melaporkan Trafik sekitar Plaza Tol Karak dan Kuala Terengganu dalam keadaan terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twittercom/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik.

Keadaan trafik di dalam ibu negara dan sekitar Lembah Kelang juga sesak dengan ramai warga kota mengambil peluang cuti hujung minggu yang hampir dengan sambutan Tahun Baru Cina untuk keluar dan bersiar-siar bersama keluarga ke lokasi-lokasi menarik.

 

Leave a Reply