‘PAS tamak mahu banyak kerusi, nak berlagak dengan Umno’, kata Nur Jazlan

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Pemimpin Umno menyifatkan PAS sebagai “tamak” kerana mahu bertanding lebih banyak kerusi apabila tidak bersetuju dengan tawaran empat kerusi yang diberikan parti itu untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata, PAS sepatutnya perlu menyedari kemampuan mereka sebelum meminta untuk diberikan lebih banyak kerusi di negeri itu.

“Tamaknya (PAS), tapi tak ada kemampuan.

“Orang yang tak ada kekuatan nak letak syarat melebih-lebih, sudahlah tolak tawaran lima kerusi daripada Umno untuk PRN Melaka dan lepas itu ikut Bersatu dalam PN dan kalah pula di semua lapan kerusi yang mereka (PAS) tanding, malah dapat undi kurang daripada Bersatu,” katanya kepada FMT.

Nur Jazlan berkata, PAS sepatutnya memuhasabah diri mengapa parti itu gagal bekerjasama dengan beberapa parti politik lain sebelum ini.

“Sekarang nak berlagak dengan Umno. Mereka patut muhasabah diri dan tanya diri kenapa PAS gagal bekerjasama dengan semua parti politik termasuk Angkatan Perpaduan Ummah tahun 1990 dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan “bukan cara yang baik” jika PAS hanya ditawarkan empat kerusi oleh Umno untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

Memetik laporan Malaysiakini, PAS pada asalnya berminat untuk meletakkan calon mereka di semua kerusi yang gagal ditawan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu namun mereka kemudian hanya ditawarkan empat kerusi.

Tuan Ibrahim dipetik berkata, cadangan itu dibawa kepada Umno dengan matlamat mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini mempertemukan kedua-dua parti ketika masih menjadi pembangkang.

Katanya, formula PAS itu dikemukakan dengan matlamat mahu menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di Johor dengan kerusi yang diinginkan PAS itu adalah milik pembangkang, khususnya Amanah.

Bagaimanapun, apabila cadangan PAS tidak diterima, rundingan dengan BN akhirnya gagal mencapai titik persefahaman.

Pada PRU14, BN tewas 19 kerusi termasuk di kawasan yang dianggap kubu kuatnya kepada PH yang kemudian membentuk kerajaan negeri sebelum dijatuhkan pada penghujung Feb 2020.

PAS pula yang ketika itu bergerak secara solo meletakkan calon di 40 kerusi namun hanya menang satu kerusi, iaitu di DUN Bukit Pasir.

Leave a Reply