Mazlan Bujang Umum Keluar Bersatu Serta-Merta

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU – Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang, hari ini, meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi BERSATU Johor, berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras.

“Saya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian BERSATU Tebrau dan keluar parti berkuat kuasa serta merta.

“Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha BERSATU Bahagian dan 23 ketua cawangan, ahli jawatan kuasa serta pegawai bahagian Tebrau.

“Saya juga mengisytiharkan saya tidak menjadi ahli mana-mana parti, tetapi menyokong Barisan Nasional (BN).

“Saya juga mengambil pendirian menyokong Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, untuk memimpin semula Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Yayasan Warisan Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, keputusan itu diambil berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil.

Katanya, ia termasuk kepimpinan yang diyakini dan berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir Johor dengan baik.

“BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) Johor juga dilihat gagal mengemukakan calon menteri besar yang layak mentadbir Johor.

“Saya juga menyeru semua ahli dan penyokong BERSATU bermuhasabah diri serta menyokong kepimpinan Hasni dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti,” katanya.

Leave a Reply