Jenazah Pian Cecupak Selamat Dikebumikan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Jenazah pelawak dan pengacara, Allahyarham Pian Cecupak yang meninggal dunia, kira-kira jam 8 malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, di sini, jam 11.10 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah dimandi dan disolatkan di Surau At Taqwa, Taman Datuk Senu, Sentul.

Di pusara, ahli keluarga, sanak-saudara dan teman memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Pian atau nama sebenar, Mohd Rafik Abdul Raman.

Turut hadir bekas isterinya, Rashidah Muhammed Hussin bersama dua anak hasil perkongsian hidup mereka iaitu Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin.

Arwah memiliki cucu, Nur Delisha Qistina berusia lapan bulan.

Awal malam tadi, Allahyarham Pian menghembuskan nafas terakhir dipercayai serangan jantung di kediaman ibunya di Taman Datuk Senu.

Berita pemergian anggota kumpulan lawak jenaka, Cecupak yang popular era 1990-an itu disahkan adik perempuan, Hassenah Abdul Raman.

Arwah mengalami sakit jantung sejak 2018 dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan.

Pada 2018, Pian pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3 pagi akibat sesak nafas.

Ketika itu, doktor mengesahkan Allahyarham Pian mengalami serangan jantung dan diletakkan di Wad Pemulihan Jantung (CRW).

Susulan itu, arwah Pian perlu membuat rawatan angiogram dengan kos perubatannya mencecah puluhan ribuan ringgit.

Terdahulu, bakat Allahyarham Pian dicungkil menerusi program realiti popular, Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3 pada era 1990-an, sebelum menyertai kumpulan Cecupak. – © Berita Harian

 

Leave a Reply