Jangkitan Kes Varian Omicron Dijangka Meningkat

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes akibat jangkitan varian Omicron dijangka bertambah dalam tempoh enam bulan akan datang berikutan beberapa perayaan berlangsung dalam tempoh berkenaan.

Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata varian Omicron yang sudah ada dalam komuniti masih terkawal setakat ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia dibimbangi akan berubah menjadi satu wabak yang besar jika tiada tindakan lanjut dilakukan kerajaan dan masyarakat.

“Apa yang boleh dilaksanakan kerajaan ialah melanjutkan tempoh masa kuarantin sehingga sekurang-kurangnya 10 hari kerana virus Omicron ini susah dikesan dan tempoh inkubasinya boleh berubah-ubah.

“Jadi, sebaiknya tempoh kuarantin itu dilanjutkan kerana sekiranya individu itu pulang dan selepas itu baru disahkan positif COVID-19, tiada guna lagi kerana ia sudah merebak kepada orang lain,” katanya kepada BH, hari ini.

Dalam satu laporan portal, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata gelombang Omicron sudah bermula di negara ini dan jumlah jangkitan COVID-19 akan meningkat.

Dr Sharifa Ezat berkata, kemasukan virus Omicron ke negara ini susah dikawal kerana jangkitannya sudah banyak dilaporkan di luar negara.

Beliau berkata, pembukaan sempadan dan kebenaran mengerjakan umrah turut bakal menyebabkan jangkitannya bertambah walaupun saringan disediakan.

“Bagaimanapun, ia tidak seteruk jangkitan akibat varian Delta, namun ia tidak boleh diambil mudah kerana kesannya tetap bahaya terutama kepada mereka yang belum divaksinasi dan khususnya golongan rentan.

“Justeru, seeloknya dos penggalak ini diberikan sebanyak mungkin kepada setiap orang kerana sekurang-kurangnya mereka ada pertahanan daripada mendapat kesan lebih teruk.

“Selain itu, kanak-kanak juga boleh dipercepatkan untuk mendapat vaksin kerana mereka juga tergolong dalam kelompok mudah terdedah,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Sharifa Ezat mengakui memang terdapat kesan vaksinasi kepada setiap individu bergantung kepada tahap antibodi badan seseorang.

“Namun perlu difahamkan, kesan jangkitan COVID-19 tanpa vaksinasi lebih teruk, berbanding mereka yang divaksinasi dan mendapat jangkitan COVID-19.

“Sekurang-kurangnya antibodi yang terhasil dapat melawan, berbanding tiada antibodi kuat,” katanya. – © Berita Harian

Leave a Reply