Ada Rekahan Baharu Dikesan Di Kawasan Tanah Mendap

Hebahkan !!!

SERI KEMBANGAN – Kerosakan dan rekahan baharu dikesan di jalan kawasan tanah mendap di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, di sini, akibat hujan lebat semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata agensi penguatkuasaan termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBPJ) mengambil maklum perkara itu dan kerja membaik pulih jalan berkenaan sedang giat dilakukan.

“Saya juga diberitahu sebanyak 50 besi cerucuk ditanam sepanjang 150 meter di kawasan kejadian semalam. Proses penanaman itu masih berlangsung dan akan mengambil masa tujuh hari bagi memastikan tiada pergerakan tanah serta berlaku rekahan di kawasan lain.

“Kita juga ingin menasihatkan 17 pemilik premis komersial di kawasan itu untuk terus mengosongkan kedai masing-masing hingga keadaan kembali selamat. Jabatan Kejuteraan MBPJ sedang membuat penilaian perkara itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, di sini, hari ini.

Media melaporkan, bomba menerima maklumat jam 6.38 petang kelmarin sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati lima kenderaan rosak akibat kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mengenai kenderaan rosak akibat tanah mendap, Anbalagan berkata, pemilik kenderaan terbabit boleh membuat laporan polis untuk tuntutan dan pampasan insurans.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan daripada pihak terbabit. Kita dimaklumkan kereta itu ada yang sudah rosak, selain milik pelanggan bengkel di kawasan kejadian.

“Kalau kereta itu mempunyai insurans, mereka boleh membuat laporan polis untuk tindakan susulan. Tiada masalah,” katanya. – © Berita Harian

Leave a Reply