Teka-Teki Hala Tuju Mazlan Bujang Bakal Terjawab Esok

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU – Teka-teki Ketua BERSATU Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang keluar parti bakal terjawab esok.

Ketika dihubungi, Mazlan yang juga EXCO Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor meminta semua pihak menunggu sidang media khas yang akan diadakan esok.

“Mana boleh beritahu dulu, tunggu esoklah. Jemput datang untuk buat liputan,” katanya ringkas.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian ketika ditanya desas desus yang semakin hangat berhubung penghijrahannya ke sebuah parti politik utama.

Khabar angin mengaitkan bekas Pengerusi BERSATU Johor itu bakal beralih parti semakin hangat diperkatakan selepas media mendapat jemputan sidang media pengumuman khas esok.

Selain itu, dua lagi ADUN BERSATU difahamkan turut mengikut jejak langkah Mazlan dan menyertai majlis pengumuman itu esok.

Isnin lalu, Mazlan dilaporkan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.

Ini kerana beliau mendakwa tidak akan bertanding atas tiket BERSATU pada PRN kali ini, berikutan tidak sehaluan dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi BERSATU Johor.

Sebelum itu, pada 20 Januari lalu pula, Mazlan dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan.

Beliau sebelum ini, menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor diadakan. – © Berita Harian

Leave a Reply