PRN Johor : Muhyiddin Mungkin Tidak Bertanding? Semuanya Akan Jelas Selepas Hari Penamaan Calon

Hebahkan !!!

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dalam satu sidang media mengumumkan kemungkinan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan kelak.

Ketika mata para pemerhati politik tertumpu pada beliau memandangkan beliau ialah bekas Perdana Menteri, beliau menyatakan perkara itu kemungkinan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Beliau yang juga Presiden Bersatu ditemui oleh media semalam sebelum mempengerusikan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Shah Alam, semalam.

Muhyiddin menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan parti itu dalam PRN berkenaan.

“Saya mungkin tidak akan bertanding… Ini terserah kepada pimpinan tentukan (calon). Saya mahu tumpukan sepenuh masa kepada yang lebih utama iaitu Parlimen, menguruskan parti pada peringkat pusat dan menyampaikan mesej perjuangan kita.

“Jadi saya mahu bagi peluang kepada tokoh di Johor dan terserah kepada merekalah siapa yang mahu diisi, kita akan putuskan nanti,” katanya di sini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Muhyiddin menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Februari ini.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Bagaimanapun, dalam politik apa sahaja boleh berlaku dan kenyataan awal tidak akan bertanding boleh berubah pada bila-bila masa memandangkan beliau juga adalah Ahli Parlimen Pagoh dan pernah menjadi Menteri Besar Johor.

Semuanya hanya akan terjawab selepas hari penamaan calon sama ada Muhyiddin menyerahkan borang pencalonan atau tidak.

 

Leave a Reply