Lagi Kes Murid Dipukul Pelajar Senior Di Sekolah Berasrama

Hebahkan !!!

MELAKA – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat cedera selepas dipercayai dipukul seniornya dalam kejadian di sebuah asrama sekolah di daerah Melaka Tengah, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa dipanggil untuk berjumpa dengan pelajar tingkatan lima di sebuah bilik asrama.

Menurutnya, di dalam bilik itu dikatakan terdapat kira-kira 10 senior mengelilingi mangsa serta bertanyakan mengenai hal berkaitan rokok elektronik sebelum dia didakwa dipukul beramai-ramai selepas tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan.

“Hasil siasatan awal dijalankan kemudian mendapati punca kejadian dipercayai disebabkan rasa tidak puas hati kerana meminati pelajar perempuan yang sama.

“Laporan polis dibuat kira-kira jam 5.15 petang semalam oleh abang mangsa berusia 27 tahun selepas mengetahui kejadian menimpa adiknya itu,” katanya.

Katanya, kesemua 10 pelajar senior yang didakwa memukul mangsa sudah dirakamkan keterangan oleh polis.

“Bagaimanapun sehingga kini tiada tangkapan dibuat selain siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

© Harian Metro

Leave a Reply