Kerjaya Nur Fathia Kini “Hidup” Semula

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Tidak lagi mencetuskan isu sensasi dan melakukan perkara yang memberi aib, kehidupan pelakon tinggi lampai, Nur Fathia Abdul Latiff, 35 tahun, kini, lebih tenang.

Bagaikan tersedar daripada mimpi panjang, bintang jelita yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Ariana Rose dan Dia Isteri Luar Biasa sepi dari kontroversi, kekecohan dan kekalutan hidup.

Malah, namanya seperti tenggelam timbul, sejak beberapa tahun ini. Wajah kacukan Melayu, Indonesia dan Arab itu juga sudah jarang menghiasi kaca televisyen (TV)

Kali terakhir, Fathia muncul menerusi drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd sekitar pertengahan tahun lalu. Lalu, timbul persepsi Fathia digam stesen TV akibat perbuatan silamnya.

Fathia berkata, kontroversi yang pernah dicetuskan sedikit sebanyak memberikan impak terhadap kerjaya seninya.

Namun, Fathia menafikan, dirinya digam stesen TV, sebaliknya, tawaran lakonan masih tidak putus diterima. Cuma, dirinya pula terlalu berbelah-bahagi untuk menerimanya.

“Minat dan perasaan cinta terhadap dunia lakonan masih menebal. Namun, entah kenapa hati saya seakan keberatan berlakon. Saya percaya ini juga berpunca daripada kesihatan mental yang dihadapi, selain dipengaruhi peningkatan usia.

“Jujurnya, banyak perkara negatif yang membuatkan saya banyak berfikir. Tawaran lakonan sentiasa ada, cuma, saya selalu fikir adakah watak ditawarkan bersesuaian?

“Bagaimana soal bayaran? Siapa pula hero yang akan bergandingan, adakah mampu mencipta keserasian? Itulah antara punca kenapa saya jarang muncul di kaca TV,” katanya kepada BH Online.

Wanita kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu berkata, dia tentunya tidak menolak sekiranya ada tawaran menarik, karakter dan jalan cerita yang bagus.

“Saya agak keberatan sekiranya menerima watak pembantu yang cuma terbabit dalam dua tiga babak sahaja.

“Saya bukannya berlagak ‘diva’, nama pun sudah semakin suram, cuma, ia tidak memberikan kepuasan apabila hanya muncul sekejap.

“Saya rindukan perasaan ingin fokus ketika berada lokasi penggambaran. Rindu suasana keseronokan ketika bekerja. Saya tidak mahu sekadar pergi dan balik shooting dalam tempoh singkat,” katanya.

Fathia berkata, dia pernah terdetik mahu meninggalkan dunia seni, namun, atas nasihat beberapa teman baik yang tidak bersetuju, hasrat berkenaan dipertimbangkan semula.

Katanya, teman baiknya menganggap keputusan meninggalkan bidang lakonan merugikan, apatah lagi, betapa sukarnya membina nama sejak lebih 12 tahun bergelar pelakon.

“Ramai teman baik tidak bersetuju dengan keputusan saya. Ini kerana mereka melihat kesusahan saya membina nama sehingga dikenali. Jadi, takkan saya mahu meninggalkan kerjaya yang pernah dibina begitu sahaja.

“Jadi, mereka meminta saya bersabar dan terus berusaha. Sebenarnya, saya suka mencuba sesuatu yang baru. Ada kala minat terhadap sesuatu hanya bertahan seketika.

“Selain lakonan, saya juga meminati bidang nyanyian, tetapi, percaturan saya tidak begitu menjadi.

“Sungguhpun begitu, saya tetap bersyukur masih mampu meraih pendapatan menerusi ulasan produk di Instagram. Alhamdulillah, ia menjadi sumber rezeki berkat melayan peminat dengan baik di laman sosial.

“Biarpun nama saya pernah dihimpit pelbagai kontroversi, tetapi, masih ada yang sudi mengupah saya membuat ulasan di IG,” katanya.

© Berita Harian

Leave a Reply