Kerajaan Akan Pertimbangkan Longgarkan SOP Selepas Vaksinasi Selesai

Hebahkan !!!

PUTRAJAYA – Kerajaan mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya proses vaksinasi Covid-19 di negara ini, termasuk dos penggalak selesai, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita lihat kalau dua dos vaksin Covid-19 dan ‘booster’ (penggalak) selesai, saya percaya kita boleh berikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulang kepada KKM untuk berikan pandangan,” katanya.

Ismail berkata, sekiranya SOP terlalu ketat, ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

Walaupun pelancongan domestik telah dibuka, katanya, pelancong antarabangsa belum dibenarkan memasuki negara dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan.

Menurutnya, sesetengah negara telah melonggarkan SOP untuk pelancong ke negara mereka dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.

“Sebab itulah kita ingat kalau rakyat kita telah diberikan ‘booster’, kita boleh relaks sikit dari segi SOP,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, kerajaan masih berhati-hati dalam membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan Covid-19.

Katanya, walaupun Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura dilaksanakan serta perbincangan VTL dengan Indonesia dan Thailand telah dimulakan, namun berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat di luar negara menyebabkan Malaysia masih menggantung pergerakan ke luar negara.

Beliau berkata, pembukaan industri pelancongan antarabangsa akan dapat memulihkan ekonomi, seterusnya menjadikan keadaan negara bertambah baik.

Sementara itu, Ismail mengulangi kerajaan tidak bercadang melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi untuk menyekat pergerakan rakyat dan sektor perniagaan.

“Ada khabar angin apabila raya nanti tidak boleh balik kampung dan perniagaan ditutup, saya telah umumkan raya boleh balik kampung dan sambutannya begitu tinggi.”

Ahad lalu, Ismail Sabri memberi jaminan kerajaan tidak akan melaksanakan semula PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara bersasar akan dilaksanakan di kawasan terbabit sahaja.

Leave a Reply