Lagi Wartawan Dibunuh Di Mexico, Kedua Dalam Tempoh Kurang Seminggu

Hebahkan !!!

TIJUANA – Seorang wartawan dibunuh di Tijuana pada Ahad, kes kedua membabitkan petugas media dalam tempoh kurang seminggu di bandar raya yang bersempadan dengan Amerika Syarikat, kata pendakwa raya tempatan.

Lourdes Maldonado Lopez “diserang dengan senjata api ketika dia berada di dalam kenderaan”, kata pejabat pendakwa raya negeri Baja California.

Beberapa hari lalu, Maldonado memenangi saman buruh terhadap sebuah syarikat televisyen yang dimiliki oleh bekas gabenor Baja California.

Mexico adalah salah satu negara paling berbahaya di dunia untuk wartawan.

Pada Isnin, wartawan foto Margarito Martinez ditemui mati berhampiran rumahnya di Tijuana.

Lelaki berusia 49 tahun itu, yang membuat liputan khusus berkaitan polis, mempunyai kesan tembakan di kepala, menurut pendakwa raya.

Pihak berkuasa juga digesa untuk menyiasat serangan yang membawa kepada kematian seorang lagi wartawan dan aktivis media sosial, Jose Luis Gamboa, di bandar Xalapa timur Veracruz.

Gamboa dibawa ke hospital pada 10 Jan selepas dia ditikam dan dibiarkan terbaring di jalan, tetapi mayatnya tidak dapat dikenalpasti sehingga Jumaat.

Tidak dapat dipastikan sama ada pembunuhan itu berkaitan dengan kerjanya.

Pemerhati hak media, Reporters Without Borders kerap meletakkan Mexico bersama Afghanistan dan Yaman sebagai tempat paling berbahaya di dunia untuk media berita.

Sekurang-kurangnya tujuh wartawan dibunuh di Mexico pada 2021, menurut kiraan AFP, walaupun tidak dapat ditentukan sama ada semua pembunuhan itu dikaitkan dengan kerja mereka.

Lebih daripada 100 wartawan telah dibunuh sejak 2000 di Mexico dan hanya sebahagian kecil daripada jenayah disabitkan dengan kesalahan.

 

Leave a Reply