Perkahwinan bukan keutamaan Aznil Nawawi

Hebahkan !!!

LEBIH 25 tahun bergelar bapa tunggal, Datuk Aznil Nawawi sudah terbiasa dengan ketentuan itu.

Malah saban tahun melalui fasa hidup solo tanpa insan bernama isteri di sisi, pemenang 10 kali kategori Pengacara TV Lelaki Popular sejak 2003 hingga 2010 itu tidak menjadikan soal jodoh sebagai keutamaan untuk dipertimbangkan.

Baginya yang mesra disapa Pak Nil, apa yang lebih utama ialah meneruskan kehidupan dan survival yang dimulakan sejak lebih tiga dekad lalu dengan meletakkan kerja seni dan tanggungjawabnya kepada masyarakat.

Malah sedari dulu, selebriti yang bakal genap 60 tahun pada November depan itu juga memikul tanggungjawab sebagai bapa kepada tiga anaknya,  Fildza Haifa 32, Fariq Haizen, 27 dan Firdaus Hariz, 13.

Cuma prinsipnya sejak dulu dan diketahui ramai memang memilih untuk menjaga privasi anaknya.

“Anak saya pun tak pernah tanya fasal jodoh. Mereka pun tahu dan selalu nampak papa (Aznil) asyik sibuk tak habis-habis.

“Anak sulung saya sendiri pun jenis wanita bekerjaya. Soal kahwin bukan keutamaan.

“Namun hubungan mereka dengan mama (bekas isteri) terus terjalin baik biarpun duduk dengan saya,” katanya yang ditemui pada majlis santai memperkenalkannya sebagai duta produk jenama Nakada di ibu kota baru baru ini.

Tambah penyanyi lagu Apo itu, dalam mendidik anaknya, beliau juga menggunakan pendekatan sama seperti ibu bapa lain.

“Saya didik mereka untuk hormat orang tua. Saya juga ajar mereka untuk sentiasa kena pandai buat keputusan sendiri dengan betul.

“Saya dan mereka pun hidup dalam era yang berbeza. Ada benda yang mereka tempuhi, saya tidak lalui. Begitulah sebaliknya.

“Paling utama dalam setiap langkah mereka, saya selalu ingatkan untuk fikir panjang dulu sebelum membuat keputusan atau bertindak,” katanya.

Skil memasak

Dalam pada itu, ditanya mengenai kebolehannya memasak, figura kelahiran Kampung Datuk Keramat KL yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (Kategori Pengacara Paling Lama Berkhidmat) itu sendiri juga mengakui skil memasak terus diasah saban hari.

Hidup sebagai bapa tunggal menjadikan Pak Nil bapa serba boleh.

“Apabila jadi bapa tunggal kenalah belajar memasak. Dulu masa zaman bujang, skil itu mungkin terbatas. Tapi sekarang kalau diminta masak menu itu, ini… mungkin saya boleh siapkan.

“Tambah pula, memasak sekarang tak perlu skil. Konsep letak bahan dan campur diperlukan dalam mesin, siap dan boleh dimakan.

“Sejak Mei tahun lalu saya dilantik jadi duta jenama kelengkapan dapur dan barang elektrik jenama Nakada, lagi tambah senang kerja dan hidup ini,”  katanya yang mengikat kontrak jenama tempatan itu selama dua tahun.

Bagi selebriti yang aktif dengan kerja kebajikan itu, pembabitannya sebagai duta bukan sekadar melobi dan meningkatkan kesedaran ramai terhadap jenama itu.

“Bahkan saya juga akur pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu memberi kesan kepada ramai orang. Ia termasuk dalam aspek perbelanjaan ekonomi.

“Justeru, saya berbincang dengan pihak mereka untuk mengadakan sesi belian harga istimewa. Permintaan itu diperkenankan dan sekali gus membolehkan orang ramai memiliki barangan jenama itu dengan harga runtuh.

“Setiap minggu atas kapasiti sebagai duta, saya akan buat satu jam sesi siaran langsung di media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok. Dalam tempoh itu belian harga duta  membolehkan pengikut media sosial membeli barangan jenama itu dengan potongan diskaun hingga 70 peratus,” katanya.

Jika di Malaysia, Pak Nil menjadi pilihan. Namun di pasaran Hong Kong, posisi duta sama diambil selebriti Kiki Sheung sejak lebih 10 tahun lalu.

“Kebetulan ketika saya mencari butiran mengenai dirinya (Kiki), kami sebaya berusia 59 tahun.

“Ternyata jenama ini lebih memilih artis senior berbanding budak baru nak ‘up’ (BBNU).  Pengalaman itu lebih mahal nilainya. Saya juga anggap ini rezeki di era pandemik,” katanya.

Pada acara berkenaan turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Yap Kok Heng dan Pengarah Urusan, Datuk Kok Siang selaku orang kuat jenama yang sudah lebih dua dekad di pasaran itu.

Leave a Reply