PRN Johor Tak Ganggu Urusan Pentadbiran Negeri – MB

Hebahkan !!!

ISKANDAR PUTERI – Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika diadakan dalam waktu terdekat ini tidak akan mengganggu urusan pentadbiran dan pelbagai program yang telah dirancang kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, perancangan itu termasuklah pelbagai inisiatif yang dibentangkan kerajaan negeri dalam Belanjawan Johor 2022 lalu.

“Sekiranya PRN Johor diadakan, saya beri jaminan urusan pentadbiran kerajaan negeri tidak akan terganggu, manakala pelbagai program yang telah dirancang juga akan berlangsung seperti biasa.

“Ia (PRN) tidak akan ganggu pelbagai perancangan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2022,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di sini hari ini.

Kenyataan Hasni itu menguatkan lagi khabar angin bahawa PRN akan diadakan dalam waktu terdekat selepas kedudukan kerajaan negeri dilihat goyah kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 28 berbanding 27 kerusi pembangkang.

Hal itu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang sedia pertimbang untuk bersara daripada dunia politik tanah air sekiranya PRN Johor diadakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu bagaimanapun berkata, keputusan pelaksanaan PRN tertakluk kepada Menteri Besar dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Kita ikut sahaja, PRN kuasa Menteri Besar dan Sultan Johor. Menteri Besar ada strategi dia, dia nak buat (PRN) bila itu hak dia dengan perkenan Tuanku, kita sebagai exco kerajaan negeri hanya menurut perintah sahaja, jika bubar kita bubar sahaja.

“Saya mungkin bersara agaknya, bersara daripada politik, duduk diam-diam, saya tiada move (langkah politik) apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di sini hari ini.

Mazlan turut menolak andaian segelintir pihak yang mendakwa dia bakal keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tiada cerita, pandai-pandai mereka buat cerita kata saya nak keluar, kalau berlaku PRN mungkin bersara, tengok nanti mcm mana.

“Saya juga tidak dapat membuat kenyataan berhubung kesediaan Bersatu dalam menghadapi PRN kerana saya bukan ketua negeri, hanya peringkat bahagian.

“Pendirian parti itu kena tanya Pengerusi Bersatu negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dahulu saya tetapi sekarang dia.

“Saya pun sudah tidak aktif sangat dengan aktiviti parti, saya banyak buat kerja exco sahaja sekarang, parti sudah kurang,” ujarnya sambil memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang kekesalan sepanjang berpolitik.

©Utusan Online

Leave a Reply