Polis Johor bongkar sindiket jual sijil digital vaksin palsu

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU – Walaupun beberapa orang sudah ditahan kerana terbabit dalam penjualan sijil vaksinasi digital palsu, namun masih ada yang ‘rambang mata’ hanya kerana mahu mengaut keuntungan lumayan.

Pada Isnin lalu dan semalam, polis Johor membongkar sindiket penjualan sijil vaksin palsu di bandar raya ini apabila menahan tiga pekerja sebuah klinik swasta dan lima pembeli sijil berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan yang dibuat pemilik klinik swasta berkenaan jam 10.53 malam, Ahad lalu apabila mendapati aktiviti mencurigakan oleh pekerja klinik itu.

Polis menahan lapan suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun di sekitar bandar raya ini membabitkan tiga pekerja klinik itu dan lima pembeli sijil digital vaksin tanpa perlu mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Menerusi siasatan dilakukan, kakitangan klinik itu menerima bayaran antara RM300 hingga RM650 bagi setiap sijil digital vaksin palsu yang didaftarkan dalam MySejahtera tanpa menerima sebarang suntikan vaksin.

“Ejen akan dibayar komisen sebanyak RM125 bagi setiap sijil digital palsu yang diperoleh.

“Modus operandinya adalah kakitangan klinik itu menggunakan ejen atau wakil yang diperoleh daripada Facebook atau kumpulan WhatsApp bagi mencari individu yang mahu sijil digital vaksin tanpa perlu disuntik,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Polis turut merampas lapan telefon bimbit milik suspek termasuk pembeli yang mengandungi imej sijil digital vaksin tidak sah serta komputer riba yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima sijil vaksin digital palsu dalam sistem MySejahtera.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, menerusi siasatan awal yang dijalankan, pembeli kebanyakannya adalah orang awam yang perlu menggunakan MySejahtera bagi membolehkan mereka melancong selain golongan anti-vaksin yang tidak mahu disuntik vaksin.

Polis Johor kini sedang mengesan 22 lagi pembeli sijil vaksinasi palsu yang semua maklumat mereka sudah diperoleh.

BebasNews

Leave a Reply