Peniaga Dipaksa Beli Barang Lain Untuk Dapatkan Minyak Masak Bersubsidi

Hebahkan !!!

KUALA NERUS – Beberapa peniaga di sini mendakwa dikenakan syarat oleh pemborong supaya membeli barangan lain jika mahu mendapatkan sekotak minyak masak bersubsidi untuk dijual di premis mereka.

Seorang peniaga, Suriani Ibrahim, 43 berkata, situasi itu berlaku susulan masalah bekalan minyak masak bersubsidi yang kian kritikal sejak kebelakangan ini.

“Sebagai peniaga runcit kami tertekan kerana terpaksa berdepan dengan beberapa syarat yang dikenakan antaranya wajib melakukan urusniaga lebih RM200 seperti membeli barangan lain bagi mendapatkan minyak masak.

“Ada juga pemborong yang menetapkan pembelian dua kotak gula yang setiap satunya berharga antara RM33 hingga RM34 semata-mata untuk mendapatkan satu kotak minyak masak,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Air, di sini, pada Khamis.

Menurut Suriani, sekiranya syarat itu tidak dipatuhi dia hanya boleh mendapatkan dua peket minyak masak yang tidak mencukupi untuk dijual kepada pelanggan.

“Sudah banyak hari bekalan minyak masak di premis saya terputus kerana saya tak mampu untuk dapatkan bekalan minyak masak kerana perbelanjaan saya meningkat.

“Kalau dapat dua peket pun saya tak boleh buat apa-apa dengan minyak itu. Tak cukup untuk dijual dan terpaksa saya pakai untuk kegunaan sendiri,” katanya yang menjalankan perniagaan kedai runcit sejak lima tahun lalu.

Suriani berkata, ketiadaan bekalan barangan kawalan itu sejak sebulan lalu secara tidak langsung menyebabkan pelanggannya semakin merosot.

©Sinar Harian

Leave a Reply