Ketua Hakim Syarie saman Lokman RM30 juta

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar telah memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM30 juta terhadap Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seseorang yang bergelar ‘Datin’.

Saman tersebut telah difailkan 17 Januari (Isnin) lalu melalui firma guaman, Tetuan Akberdin & Co. di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Sesalinan dokumen terbabit diperolehi media melalui carian fail mahkamah yang mana bersama-sama writ saman tersebut telah difailkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) terhadap Lokman.

Berdasarkan semakan sistem kehakiman mahkamah, permohonan injunksi tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff pada 20 Januari manakala kes saman fitnah itu ditetapkan untuk pengurusan kes 21 Februari depan.

Mengikut pernyataan tuntutan yang difailkan, Mohd. Na’im selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa defendan, Lokman telah membuat dua siaran langsung mengandungi kenyataan berbaur fitnah di laman sosial Facebook miliknya pada 10 dan 13 Januari lalu.

Rakaman kedua-dua siaran langsung tersebut kemudiannya telah dimuat naik ke laman Youtube milik defendan.

Defendan turut memuat naik tiga lagi hantaran di laman Facebook miliknya di antara 11 dan 13 Januari lalu.

Plaintif menyatakan, berdasarkan hantaran (posting) yang dibuat oleh defendan antara lain telah menggambarkan Plaintif telah membuat gangguan seksual ke atas beberapa wanita termasuk seseorang bergelar Datin, tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie, mempunyai akhlak yang buruk dan menyebabkan negara dilanda musibah.

Posting-posting tersebut juga didakwa menyebabkan kredibiliti, maruah dan reputasi Mohd. Na’im terjejas serta mengundang kecaman dan kebencian daripada orang awam yang melihat rakaman dan membaca hantaran tersebut membuat andaian.

Justeru, plaintif dengan itu memohon satu perintah agar defendan memadamkan kesemua hantaran yang dibuat di media sosial, Facebook dan Youtube di samping perintah injunksi bagi menghalang Lokman atau ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa jua cara sekalipun.

Leave a Reply