Jambatan Bailey Kampung Bemban Sudah Siap

Hebahkan !!!

JELEBU – Penduduk di Kampung Bemban, Simpang Durian di sini kini boleh menarik nafas lega apabila pembinaan jambatan sementara Compact Bailey Single Lane (CB 200) di Sungai Teriang bagi menghubungkan ke kampung tersebut telah siap sepenuhnya semalam.

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, projek pembinaan jambatan tersebut bagi menggantikan jambatan yang telah roboh akibat banjir sebelum ini telah siap sehari awal berbanding jangkaan awal ia siap hari ini.

“Projek yang telah dibina bermula 18 Januari itu dijangka siap pada 20 Januari namun telah siap sehari lebih awal iaitu pada 19 Januari.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Darat Malaysia telah mengaturgerak tiga pegawai serta 56 anggota dari Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Ke-9 RAJD dengan kerjasama kakitangan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jambatan yang menghubungkan Kampung Bemban dan Kampung Jerang itu adalah sepanjang 18 meter dan berkelebaran 4.3 meter.

Ia merupakan sebahagian Projek Jiwa Murni ATM selaras dengan Teras Kementerian Pertahanan serta Tonggak Ke-5 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu meningkatkan kerjasama ATM dan Tentera Darat bersama dengan agensi awam dan rakyat.

©Kosmo Online

Leave a Reply