Polis Serbu Klinik Swasta Di Johor Bahru Dikesan Jual Sijil Digital Vaksinasi Palsu

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU – Polis menyerbu sebuah klinik swasta di bandar raya ini yang dikesan menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu tanpa suntikan.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan itu seramai lapan individu terdiri daripada tiga kakitangan klinik dan lima pembeli sijil digital vaksin Covid-19 ditahan.

Katanya, berdasarkan data yang ditemui, polis turut meminta semua 30 pembeli sijil palsu itu daripada klinik berkenaan menyerah diri sebelum operasi mencari dan penangkapan dilakukan.

“Semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun dan turut dirampas adalah lapan unit telefon bimbit yang mengandungi imej sijil digital dan komunikasi perbualan antara kakitangan klinik serta pembeli.

“Turut dirampas peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima vaksin ke dalam sistem MySejahtera,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Kamarul berkata, modus operandi klinik itu mendapatkan pembeli adalah menerusi ejen atau wakil yang diberikan bayaran antara RM125 hingga RM300 dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket lain yang beroperasi sama seperti sindiket itu.

“Berdasarkan data kita ada, sekarang ini 30 orang (pembeli) tapi mungkin lebih dan sedang dalam siasatan, kita minta mereka semua tampil serah diri,” tambah beliau.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

“Siasatan yang dijalankan juga menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Leave a Reply