Operasi Pemadaman Api Di Pulau Pinang Akan Guna Kaedah Bom Air

Hebahkan !!!

NIBONG TEBAL – Operasi pemadaman api di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini, diteruskan pada Rabu dengan bantuan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata, kaedah bom air digunakan dalam operasi pemadaman api yang akan dilepaskan di lokasi titik panas berdasarkan termal imej dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Helikopter JBPM yang berlepas dari Subang dijangka tiba di tapak pelupusan sampah itu jam 9 pagi.

“Seramai lapan anggota JBPM yang akan terlibat dengan operasi yang menggunakan helikopter pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Boon Poh berkata, bagi melancarkan operasi berkenaan semua agensi atau penduduk tidak membuat sebarang penerbangan dron semasa unit udara bomba sedang melakukan penerbangan dan kerja-kerja operasi pemadaman.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Boon Poh berkata, sebanyak 10 keluarga yang tinggal berhampiran dengan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung telah dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini sejak Ahad lalu.

Jelasnya, lapan orang termasuk seorang warga emas dan seorang bayi ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah manakala 36 orang termasuk tiga orang warga emas ditempatkan di PPS SK Saujana Indah.

Leave a Reply