Najib Razak Persoal Harga Pelekat RFID Cecah RM35 Sekeping

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan harga pelekat sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang dijual pada harga RM35 kerana kos pelekat RFID pasif biasanya dijual bawah RM1 sekeping.

Beliau bagaimanapun turut mempersoalkan sama ada syarikat Touch ‘n Go atau PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memberi rebat bagi pemilik SmarTAG yang tidak lagi berfungsi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID.

“Kos sticker (pelekat) RFID pasif biasanya bawah RM1 sekeping. Jadi, kenapa pula dijual pada harga RM35?

“Dan adakah syarikat Touch ‘n Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik SmarTAG yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?

“Syarikat Touch ‘n Go dimiliki Bank CIMB, Ant Group dari China, syarikat insurans AIA Group dari USA dan firma pelaburan Bow Wave Capital dari New York,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Najib Razak, semalam.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan PLUS dan Touch ‘n Go memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung pelbagai isu berkaitan RFID.

Beliau telah memanggil PLUS dan Touch ‘n Go untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin, malah terus memantau kedua-dua syarikat berkenaan menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID.

Mengulas lanjut, Najib berkata, pelekat RFID sepatutnya diberi percuma kepada setiap pelanggan Touch ‘n Go kerana kosnya rendah.

Leave a Reply