Laluan Sungai Koyan – Raub Berbahaya Kepada Pemandu Bas Ekspres

Hebahkan !!!
Kejadian tanah runtuh membuatkan laluan berdekatan Kolej Vokasional Kuala Lipis ditutup kepada semua kenderaan berat yang kini perlu menggunakan laluan Sungai Koyan-Raub.

KOTA BHARU – Bukan hanya terpaksa mengharungi laluan sempit dan gelap, pemandu bas ekspres yang menggunakan laluan alternatif dari Sungai Koyan ke Raub, Pahang juga berdepan dengan kumpulan lembu yang tiba-tiba melintas di hadapan sekaligus mengundang kepada kecelakaan jalan raya.

Jalan alternatif itu digunakan sejak hujung Disember lalu selepas laluan utama dari Kuala Lipis ke Raub ditutup kepada semua kenderaan berat berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di hadapan Kolej Vokasional Kuala Lipis, Pahang yang sehingga kini masih belum dapat digunakan.

Seorang pemandu bas ekspres, Izani Zakaria, 40, berkata setiap hari dianggarkan hampir 100 bas menggunakan laluan alternatif itu untuk dua hala perjalanan.

“Jika dua kenderaan ini berselisih, sebuah perlu mengalah dengan memperlahankan pergerakan sebelum berhenti di kaki lima bagi memberi laluan.

“Jika perjalanan waktu malam pula, sepanjang laluan memang gelap dan kami juga berdepan dengan risiko kumpulan lembu yang tiba-tiba melintas,” katanya menurut laporan portal Berita Harian.

Izani mendakwa, situasi kini semakin genting apabila ada penduduk kampung yang tinggal di pinggir jalan laluan Sungai Koyan – Raub yang bertindak membaling batu ke arah bas ekspres yang menggunakan jalan itu.

Katanya, perbuatan itu tidak dapat dipastikan puncanya, sama ada marah kerana kenderaan berat menggunakan laluan terbabit secara kerap atau disebabkan ada berlaku kemalangan jalan raya membabitkan bas beberapa hari lepas di laluan berkenaan.

“Mereka mendakwa bas dipandu laju, sedangkan kelajuan sudah ‘dikunci’ untuk pemanduan tidak melebihi 90 kilometer sejam (kmj) dan jika di jalan sempit sebegitu sudah pasti sekitar 70kmj sahaja dipandu,” katanya sambil memberitahu perjalanan juga merugikan masa apabila menggunakan laluan yang lebih jauh itu.

Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, Izani menjangkakan lebih banyak bas ekspres akan melalui jalan alternatif itu dan menggesa agar pihak berwajib menyegerakan pembaikan laluan utama yang rosak itu.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail, berkata kekerapan penggunaan laluan alternatif yang dipenuhi pokok kayu itu juga menyebabkan kerosakan pada bas ekspres.

Beliau berkata, dahan pokok yang berjuntai menyebabkan beberapa cermin bas terutama bas ekspres dua tingkat pecah dan keadaan semakin buruk apabila cuaca hujan.

“Setakat ini kami tidak membuat sebarang aduan lagi kepada pihak berwajib kerana menganggap mereka sedang menjalankan kerja baik pulih atau penyelenggaraan.

“Kami berharap laluan utama Kuala Lipis-Raub dapat dibuka semula secepat mungkin bagi mengelakkan segala masalah yang dihadapi kini berakhir,” katanya.

Leave a Reply