Parti Amanah Johor Ingatkan Khaled Nordin, Jangan Kelirukan Rakyat Johor

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad menyelar kenyataan Naib Preisden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendakwa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu tindakan bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu berkata, Mohamed Khaled tidak wajar mengelirukan rakyat dengan kenyataan itu dan beliau menasihatkan bekas Menteri Besar Johor tersebut supaya tidak menzalimi rakyat dengan mengadakan PRN.

Jelasnya, masih banyak perkara lain yang perlu diutamakan melibatkan masalah rakyat di negeri ini berbanding mengadakan PRN.

“Masalah rakyat daripada segi ekonomi, sosial dan pendidikan banyak lagi yang perlu diselesaikan bukan hanya memikirkan tampuk kuasa seperti alasan yang dibuat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Ini jelas menunjukkan kenyataan sombong dari Khaled Nordin yang membelakangkan suara rakyat. Beliau tidak langsung memikirkan soal kebajikan dan tanggungjawab terhadap rakyat di negeri ini yang sedang mengikat perut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dzulkefly berkata, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pembangkang sebelum ini pun tidak ada ungkitan mahu mendapatkan kerajaan selepas titah baginda Sultan Johor yang mahukan kesatuan dalam DUN Johor,” katanya.

Semalam, Mohamed Khaled dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan mengadakan PRN Johor merupakan tindakan bertanggungjawab iaitu mengembalikan mandat kepada rakyat.

Leave a Reply