Negara Dijangka Masuk Ke Fasa Endemik Dalam Masa Dua Tiga Minggu

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Peralihan fasa dari epidemik ke endemik dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya menangguhkan fasa itu kerana masih menunggu laporan situasi semasa kesan daripada banjir, varian Omicron dan pengembara yang kembali ke tanah air khususnya dari Arab Saudi.

Menurutnya, beliau dijangka menerima taklimat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Luar dan pihak lain pada Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 berhubung isu berkenaan minggu depan, sebelum membentangkannya kepada Jawatankuasa Khas Covid-19 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perdana Menteri akan membuat keputusan dan mengumumkan bila tarikh sebenarnya untuk kita beralih kepada fasa endemik. Yang penting peralihan tidak dilakukan secara semborono.

“Kita tetapkan tujuh asas perlu dipatuhi orang ramai dan ini boleh kita maklumkan kepada media melalui setiausaha akhbar saya berkaitan dengan pengurangan prosedur operasi standard (SOP), pendekatan ujian kendiri dan beberapa perkara lain.

“Penangguhan itu hanya sementara yang saya umumkan menyebabkan kita berhati-hati beberapa minggu ini tetapi kita sudah bersedia untuk beralih fasa endemik, namun pada akhirnya bukan untuk saya umum sebaliknya Perdana Menteri akan berbuat demikian selepas dipersetujui dalam jawatankuasa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat di Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mengulas berhubung gesaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hishammuddin berkata, pihaknya perlu mendapat maklum balas KKM berhubung perkara itu.

“Orang Johor akan tanya apa beza PRN di Melaka dan Sarawak jika PRN Johor diteruskan. Ini bukan untuk saya menentukan. Bila ianya diputuskan nanti tugas kita yang mengkoordinasikan antara kementerian bersama kepemimpinan Johor.

“Tunggu keputusan dulu dan berkaitan (SOP) Covid-19 nanti kita akan fikirkan. Jangan kita takutkan orang ramai kerana yang penting jika keputusan untuk mengadakan PRN, biar ia berjalan dengan selamat. Pengalaman kita di (PRN) Sabah dan melaka menjadi sandaran,” katanya.

Leave a Reply