Kes Positif COVID-19 Di PULAPOL Air Hitam Cecah 128 Kes

Hebahkan !!!

SEREMBAN – Sebanyak 128 kes COVID-19 dilaporkan berlaku di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Jempol, setakat semalam, sekali gus mencetuskan Kluster Air Hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan, berkata kes indeks dikesan hasil saringan terhadap lima pelatih bergejala dengan keputusan disahkan positif.

Susulan itu, beliau memaklumkan hingga semalam, seramai 602 individu sudah menjalani ujian saringan dengan 128 daripadanya disahkan positif COVID-19, manakala 444 negatif dan 30 lagi sedang menunggu keputusan.

“Kes positif sedang dirawat dan kontak rapat telah diasingkan,” katanya.

Difahamkan, Kluster Air Hitam diisytiharkan pada Khamis lalu dan operasi latihan di PULAPOL berkenaan sudah dihentikan sementara bermula 10 Januari, manakala asrama turut ditutup dan menjadi pusat isolasi.

Buat masa ini, pusat latihan itu hanya dibuka bagi urusan pentadbiran.

Sementara itu, Veerapan berkata, setakat jam 12 tengah hari semalam, 203 kes baharu COVID-19 dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negeri ini mencecah 115,717 kes dengan 1,327 kematian.

“Satu kluster baharu dilaporkan, iaitu Kluster Jalan Pulai Impian di Seremban. Ia membawa kepada tujuh kluster tempatan belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan, setakat ini.

“Enam lagi kluster ialah Kluster Air Hitam dengan 128 kes, Industri Jalan Mukasauk (55), Persiaran Pendidikan Nilai (53), Jalan Geliu (32), Kasih Kemboja (25) dan Jalan Merpati Serting (21),” katanya.

Leave a Reply