Tiga Mangsa Termasuk Dua Kanak-Kanak Cedera Dalam Serangan Di Baghdad

Hebahkan !!!
Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di kawasan Zon Hijau di Baghdad, Iraq.

BAGHDAD – Tiga mangsa termasuk dua kanak-kanak, cedera dalam serangan roket di Zon Hijau Baghdad, semalam, menurut sumber keselamatan Iraq.

Satu daripada serangan terbabit dilaporkan mengenai sebuah sekolah, manakala dua roket lagi memasuki kawasan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Kejadian berlaku ketika negara yang dibelenggu krisis peperangan ini terus bergelut dengan ketegangan politik, termasuk keputusan Mahkamah Agung Persekutuan semalam untuk menggantung pelantikan Speaker Parlimen yang baharu, Mohammed al-Halbussi.

“Tiga roket dilancarkan ke arah Zon Hijau. Dua roket itu jatuh dalam kawasan Kedutaan AS dan satu lagi di sebuah sekolah berhampiran,.

“Serangan itu menyebabkan seorang wanita dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan mengalami kecederaan,” kata seorang pegawai atasan Iraq yang enggan dikenali, kepada AFP.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, puluhan serangan roket atau bom dron dilapor menyasarkan pasukan tentera dan kepentingan AS di Iraq.

Jarang ada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan, namun ia lazimnya didakwa membabitkan puak pro-Iran di Iraq.

Puak berkenaan dilaporkan mendesak semua tentera AS yang berada di negara ini supaya keluar dari Iraq.

Satu lagi sumber keselamatan yang juga enggan dikenali pula memaklumkan, tiada kecederaan ataupun kerosakan dilaporkan berlaku di dalam kawasan Kedutaan AS akibat insiden berkenaan.

Kedutaan itu terletak dalam Zon Hijau Baghdad yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat dan turut menempatkan Parlimen serta pelbagai pejabat kerajaan.

Sementara itu, Kedutaan AS dalam satu kenyataan melalui Facebook, mengecam serangan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai ‘cubaan kumpulan pengganas untuk menggugat hubungan antarabangsa, keselamatan dan kedaulatan Iraq.’

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Leave a Reply