PRN Johor : Peluang Muhyiddin Kembali Jadi Menteri Besar

Hebahkan !!!
Muhyiddin Yassin ketika menjawat portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan dahulu.

Sejak dua tiga hari ini sudah timbul di media sosial desas desus katanya negeri Johor akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan.

Difahamkan ia mungkin diadakan ekoran keadaan Kerajaan Negeri Johor dikatakan tidak kukuh dan perlu diadakan pilihan raya untuk mendapatkan mandat baharu dari pengundi negeri Johor bagi mendapatkan pentadbiran negeri yang kukuh dan stabil.

Ada pihak melihat bahawa PRN kali ini jika diadakan, ia adalah peluang untuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali menjadi Menteri Besar Johor sekali lagi.

Rekod dalam sejarah menunjukkan bahawa Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor dari tahun 1986 hingga 1995 selama dua penggal dan ketika itu menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serampang.

Jika Muhyiddin bertanding pada PRN kali ini, beliau akan mempertahankan kerusi DUN Gambir dan jika menang beliau boleh dilantik sebagai Menteri Besar jika Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan gabungannya dalam Perikatan Nasional menang PRN.

Beliau dilihat ada pengalaman untuk membawa pentadbiran negeri Johor dalam keadaan baik selepas ada pengalaman menyandang pelbagai jawatan dalam kabinet serta pernah menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020.

Muhyiddin pada masa itu berdepan cabaran getir memimpin negara kerana wabak COVID-19 sudah melanda dunia termasuk Malaysia sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa diambil oleh kerajaan.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tahun lepas, beliau kemudian dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang merencana usaha untuk memulihkan kembali Malaysia dari wabak pandemik global ini.

Keputusan PRN yang melibatkan kerusi yang ditandingi Muhyiddin amat penting kerana jika beliau berjaya menang, sudah pasti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau ada peluang cerah mengekalkan kerusi Parlimen Pagoh.

Bukan sahaja Muhyiddin, bahkan ramai lagi nama besar dalam politik Malaysia akan jadi tumpuan untuk melihat prestasi mereka di PRN Johor nanti jika ia diadakan.

Leave a Reply