Pergi umrah tak vaksin? Saya dah lengkap 2 dos termasuk penggalak, kata Tuan Ibrahim

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengemukakan bukti bagi menafikan tuduhan pihak tertentu yang beliau menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah tanpa lengkap vaksinasi Covid-19.

Menerusi Facebooknya, Tuan Ibrahim berkongsi maklumat dan mengemukakan semua bukti bermula daripada dos pertama sehingga dos penggalak yang diterimanya.

“Terdapat kekeliruan beberapa pihak menuduh saya tidak divaksin sebelum menunaikan umrah. Berikut adalah maklumat vaksinasi saya.

“Dos pertama diterima pada 24 Mac 2021 di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya manakala dos kedua pula pada 14 April 2021 juga di klinik sama.

“Bagi dos penggalak, saya terima pada 2 Nov 2021 di Pejabat Kesihatan Titiwangsa dengan ketiga-tiga dos diterima ialah vaksin jenama Pfizer,” katanya.

Isu itu mula dihebohkan oleh pendakwah bebas, Abu Syafiq yang menempelak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang mahu pihak berkuasa menyiasat beliau kerana dikatakan membawa jemaah tidak divaksin menunaikan umrah.

Abu Syafiq turut mendakwa ada individu dalam kerajaan menunaikan ibadat itu tapi belum divaksin iaitu Tuan Ibrahim.

Dalam satu hantaran video di media sosialnya, pendakwah itu meminta Idris berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan mengenai siasatan terhadap jemaah umrah yang tidak divaksin.

Tuan Ibrahim dilaporkan ke Tanah Suci menunaikan umrah ketika beberapa negeri dilanda banjir baru-baru ini.

Leave a Reply