Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia Dan Filipina Adakan Pertemuan 27 Januari

Hebahkan !!!

TAWAU – Menteri Pertahanan dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bertemu pada 27 Januari ini bagi berbincang mengukuhkan Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) untuk meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi serta Pantai Timur Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sebelum ini telah menyuarakan hasrat untuk mengukuhkan TCA melibatkan kerjasama angkatan tentera negara tersebut kepada rakan sejawatnya di Indonesia dan Filipina.

“Mereka telah menyatakan persetujuan dan sehubungan itu satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Jan ini bagi membincangkan perancangan mengenainya.

“Hasrat meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu turut disuarakan Ketua Menteri Sabah (Datuk Hajiji Noor) dalam pertemuan kami semalam, dan hasrat beliau ini akan saya sampaikan semasa pertemuan bersama Menteri Pertahanan Filipina dan Indonesia kelak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat Kem Kukusan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan keselamatan di pantai timur Sabah, pembinaan kem baharu Tentera Darat di Felda Sahabat, Lahad Datu membabitkan peruntukan RM646.15 juta akan dimulakan pada tahun ini.

“Pembangunan kem baharu ini akan memindahkan satu batalion infantri dan unit-unit 13 Briged sebagai usaha meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan tentera darat dalam menangani ancaman semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, sepanjang tahun lepas operasi keselamatan di pantai timur Sabah berjalan lancar dan berupaya menangani ancaman yang menjadi perhatian termasuk penculikan untuk wang tebusan, rompakan laut, penyeludupan, kemasukan pendatang haram dan militian.

“Menerusi operasi tahun lepas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas dadah bernilai RM3.34 juta, rokok seludup dan barangan terkawal (RM1.38 juta), tangkapan 154 pendatang haram bersama 393 bot, termasuk tiada rekod penculikan baharu di pantai timur Sabah,” katanya.

Leave a Reply