Warga Asing Cuba Seludup Rokok RM1.95 Juta Dihalang Maritim Malaysia

Hebahkan !!!

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis berjaya menggagalkan bubaan membawa masuk rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM1.95 juta apabila menahan sebuah bot barter trade kira-kira 2.7 batu nautika, barat Tanjung Belua, di sini semalam.

Pengarah Maritim Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot yang dinamakan KM Bintang Jaya disyaki dari Thailand itu berjaya ditahan pada jam 4 pagi dan hasil pemeriksaan menemui sebanyak 1,950 kotak bungkusan mengandungi 19.5 juta batang rokok seludup pelbagai jenis yang cuba dibawa masuk ke negara ini.

Menurutnya, selain 97,500 karton rokok tersebut, turut ditemui 39 guni berisi tembakau dengan nilai anggaran RM780,000.

“Selain bot barter trade, barang rampasan, Maritim turut menahan tekong bersama tujuh kru bot berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun disyaki warga Indonesia.

“Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan dan diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd Zawawi memaklumkan, kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan dan intipan berterusan Maritim Kedah/Perlis berhubung aktiviti jenayah penyeludupan di perairan Kedah, terutamanya di jalur sempadan perairan Malaysia-Thailand, selain kerjasama erat bersama penguat kuasa negara jiran.

“Kita lakukan serbuan setelah menerima maklumat mengenai pergerakan suspek di perairan negara oleh sebuah bot ronda Maritim Malaysia, seterusnya berjaya mengesan kedudukan bot yang disyaki dinaiki suspek, dan berjaya memintas mereka untuk pemeriksaan,” katanya lagi.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,417,500 merangkumi sebuah bot barter trade, 97,500 karton rokok pelbagai jenis serta 39 guni tembakau.

Leave a Reply