Kontraktor Bina Rumah Banglo Pun Hendak Guna Air Curi

Hebahkan !!!

SEREMBAN – Tindakan kontraktor menggunakan air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) secara haram bagi kerja pembinaan banglo dua tingkat di Mantin, dekat sini, berjaya dikesan petang semalam.

Susulan itu, serbuan dilakukan pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Muhammad Naqib Aniq Abdul Kahar bersama anggota penguat kuasa SAINS di lokasi terbabit.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, operasi serbuan dilakukan jam 2 petang sebaik menerima maklumat mengenai kegiatan kontraktor berkenaan.

“Hasil siasatan di tapak mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 16 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter.

“Bekalan air melalui sambungan tidak sah itu digunakan untuk kerja pembinaan premis berkenaan.

“Pegawai penguat kuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air digunakan adalah air terawat milik SAINS dan pihak SPAN menyita semua pemasangan serta punca sambungan dibuat sebagai bahan bukti,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, SAINS mengingatkan semua pihak tidak melakukan perbuatan mencuri air kerana ia menyalahi undang-undang dan boleh menjejaskan kepentingan pengguna.

Beliau mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat membantu SAINS dalam usaha mengurangkan kes kecurian air dan orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982 untuk melaporkan sebarang kes mencuri air.

Leave a Reply