Kehilangan Shebby Singh Satu Kesedihan Bola Sepak Negara

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU – Berita bekas pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth Singh yang meninggal dunia semalam nyata mengejutkan penggiat bola sepak tanah air.

Antara yang terkesan dengan pemergian mendiang Serbegeth atau sinomin dengan panggilan Shebby adalah bekas jurulatih Johor FA, K Sukumaran yang pernah membimbingnya ketika menyertai pasukan itu pada musim 1983 malah beliau terkejut dan begitu sedih mendapat berita yang mengejutkan itu.

Malah Sukumaran yang pernah membimbing mendiang ketika beraksi untuk Johor FA pada musim 1983 menganggap beliau merupakan seorang yang berdedikasi dan tiada mengenal erti kekecewaan sebaliknya sentiasa memberi persembahan terbaik apabila beraksi di padang.

“Bakat beliau dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan dan ketika itu mendiang berusia 22 tahun dan kemudian saya serapkan beliau di skuad senior dan sering berada dalam kesebelasan utama.

“Sepanjang bersama Johor FA, beliau begitu komited dan kerap memberi kerjasama yang baik pada sesi latihan dan begitu akrab dengan rakan sepasukan,” katanya ketika dihubungi.

Shebby meninggal dunia pada usia 61 tahun pada petang semalam selepas jatuh pengsan dipercayai akibat sesak nafas ketika berbasikal.

Beliau memulakan kerjaya dalam bola sepak sebagai pemain pertahanan bagi pasukan Johor sebelum menyertai Kuala Lumpur pada 1983.

Mendiang juga pernah beraksi bersama Negeri Sembilan dan Pahang sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak pada 1996.

Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.

Bukan sahaja pernah berkhidmat dalam mengendalikan pasukan kebangsaan, bahkan mendiang juga adalah Penasihat Global Blackburn Rovers pada 2012.

Bagi Sukumaran, bola sepak negara kehilangan individu yang kerap memberi komen untuk membangunkan bola sepak negara dan sememangnya ia adalah satu kerugian.

“Bukan itu sahaja, beliau juga terbabit untuk menasihat struktur pembangunan bola sepak Johor ketika bersama kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ,” kata Sukumaran yang kini bertugas selaku pengurus pembangunan bola sepak JDT.

Leave a Reply