Amerika Syarikat Kenakan Sekatan Ke Atas Warga Korea Utara Dan Russia

Hebahkan !!!

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas enam warga Korea Utara selain seorang warga dan firma Russia yang membekalkan senjata dan peluru berpandu ke Korea Utara.

Jabatan Perbendaharaan AS berkata langkah itu bertujuan menghalang pembangunan program senjata Korea Utara dan usaha percubaannya untuk memperluaskan teknologi senjata.

Sekatan itu adalah yang pertama secara khusus menyasarkan program senjata Korea Utara oleh pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, yang sebelum ini gagal mendapat persetujuan Pyongyang dalam dialog bagi memujuknya membebaskan program bom nuklear dan peluru berpandu.

Sekatan itu susulan pelancaran enam peluru berpandu balistik Korea Utara sejak September lalu, setiap satunya dikatakan melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).

Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan, Brian Nelson, berkata langkah itu bagi membendung tindakan Korea Utara yang menggunakan secara berterusan wakil luar negara untuk mendapatkan senjata secara haram.

“Pelancaran peluru berpandu terbaru Korea Utara adalah bukti jelas bahawa negara itu terus mahu memajukan program terlarang walaupun masyarakat antarabangsa menggesa usaha diplomasi dan larangan penggunaan senjata nuklear.

“Jabatan Negara AS menyekat wakil Korea Utara, Choe Myong Hyon, yang berpangkalan di Russia; warga Russia, Roman Anatolyevich Alara dan firma Russia, Parsek LLC.

“Mereka ini terbabit dalam ‘aktiviti atau transaksi yang secara jelas membabitkan penambahan senjata pemusnah besar-besaran atau penghantarannya’,” katanya dalam satu kenyataan.

Choe Myong Hyon, wakil Akademi Sains Semula Jadi Kedua Korea Utara (SANS), yang berpangkalan di Vladivostok, Russia, dikatakan berusaha mendapatkan peralatan berkaitan telekomunikasi dari Russia.

Empat wakil Korea Utara pula terbabit dalam pertubuhan kelolaan SANS yang berpangkalan di China, dikenali sebagai Sim Kwang Sok, Kim Song Hun, Kang Chol Hak dan Pyon Kwang Chol.

Sementara itu, seorang lagi warga Korea Utara, O Yong Ho, turut dikenakan sekatan oleh AS.

Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, Sim Kwang Sok, yang berpangkalan di Dalian, ditugaskan mendapatkan bekalan keluli manakala Kim Song Hun, yang berpangkalan di Shenyang, bertanggungjawab dalam urusan pembelian perisian dan bahan kimia.

Sekatan yang dikenakan itu termasuk membekukan mana-mana aset berkaitan di AS dan larangan semua urusan.

Leave a Reply